[VIDEO] Pemandu lori antara didakwa rompak jongkong tembaga

A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan 62 jongkong tembaga sebuah syarikat, bulan lalu.

Tertuduh, R Uthayakumar, 34, C Narendran, 50, masing-masing pemandu lori dan V Navendre Nair, 24, merupakan penganggur bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didapati melakukan rompak berkumpulan terhadap sebuah syarikat dengan merompak 62 jongkong tembaga yang merupakan harta dalam kawalan sebuah syarikat.

Kesalahan itu dilakukan pada 27 September 2025, lebih kurang jam 6 petang di Jalan Seremban - Bukit Nenas Highway, Nilai.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Seorang peniaga G G Gartick, 39, dan pemandu lori S Mithiran Nair, 30, pula didakwa bersubahat melakukan rompak berkumpulan tersebut.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurnediahani Mohd Ideris menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan.

Artikel Berkaitan:

Peguam S Khartigesan yang mewakili Narendran yang juga orang kurang upaya (OKU), Gartick dan Mithiran memohon jaminan minimum kerana penjamin yang mewakili kesemua anak guamnya tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.

Dua lagi tertuduh turut memohon jaminan rendah yang mana Uthayakumar masih bujang serta menanggung ibu menghidap darah tinggi manakala Navendre baru kehilangan kerja.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Sebutan semula kes pada 10 November ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan rompak berkumpulan 62 jongkong tembaga
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan
  • Kesalahan dilakukan pada 27 September 2025 di Jalan Seremban - Bukit Nenas Highway, Nilai
  • Sabit kesalahan boleh mengakibatkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat
  • Jaminan ditetapkan RM15,000 untuk setiap tertuduh dengan syarat melapor diri di balai polis bulanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!