Lapan individu didakwa kurung tiga lelaki, rompak guna senjata

KOTA BHARU – Seramai lapan individu termasuk tiga beranak dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mengurung tiga lelaki serta bersubahat dalam kejadian di Pasir Puteh pada 25 September lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada Norhazri Muhammad Nor, 45; Hazafee Mohamed, 37; Mohd Hasrun Mohd Yusof, 37; Mohd Fairuz Mahasan, 41; Muhammad Danish Syahmi Norhazri, 22; Muhammad Darwish Syahmi Norhazri, 20; dan Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama secara salah mengurung tiga lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara jam 10.40 malam hingga 4 pagi dari 25 hingga 29 September.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk memeras harta, dan kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tiga daripada tertuduh iaitu Muhammad Danish Syahmi, Muhammad Darwish Syahmi dan Muhammad Najmuddin diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November ini.
Sementara itu, seorang wanita, Yang Marliziana Mohd Ramli, 37, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam kejadian sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan tujuh tertuduh lain melakukan pengurungan terhadap tiga mangsa sama di lokasi berbeza, iaitu di perhentian bas Pasar Peringat, Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu, pada kira-kira jam 4 petang, 25 September.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 347 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 November ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, empat daripada mereka – Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz turut didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dengan menunjukkan pistol dalam kejadian di bawah jambatan Gong Kulim, Jalan Pasir Puteh–Tok Bali pada 25 September lalu.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan terhadap tiga lelaki sama dengan menggunakan senjata api jenis pistol pada kira-kira jam 4.35 petang, 25 September di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, manakala semua tertuduh diwakili peguam sama, Mohd Azrul Hasyimi.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Lapan individu termasuk tiga beranak dan seorang wanita didakwa mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh
- Mereka bersubahat melakukan pengurungan dengan niat memeras harta
- Tiga daripada tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang
- Seorang wanita bersubahat dalam kejadian sama diikat jamin sebanyak RM4,000
- Empat daripada tertuduh juga didakwa melakukan rompakan bersenjata di bawah jambatan Gong Kulim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

