Lelaki didakwa cabul anak saudara usia 11 tahun

Seorang juruelektrik berusia 47 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, Ogos lalu.
Seorang juruelektrik berusia 47 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, Ogos lalu.
A
A
A

IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, Ogos lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun dan bekerja sendiri sebagai juruelektrik bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Bapa dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Bota Kanan dalam daerah Perak Tengah kira-kira jam 8 pagi pada 31 Ogos 2025.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga, berpendapatan RM1,800 sebulan serta perlu menyara isteri dan dua anak masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa kini tinggal bersama ibu kandungnya dan tidak lagi menetap di rumah tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya dia melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan hingga kes selesai.

Mahkamah turut melarang tertuduh menghubungi, mengganggu atau mendekati mangsa serta saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 November ini bagi penyerahan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 11 tahun
  • Tertuduh berusia 47 tahun, bekerja sebagai juruelektrik dan mengaku tidak bersalah
  • Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Bota Kanan, Perak Tengah pada 31 Ogos 2025
  • Tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan
  • Mahkamah membenarkan jamin RM8,000 dengan syarat tertuduh melapor di balai polis setiap awal bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!