Pemandu gagal kawal jarak, 9 kenderaan berlanggar

Tiga penunggang motosikal cedera dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Lebuhraya Kajang SILK pada Isnin.
Tiga penunggang motosikal cedera dalam kemalangan melibatkan sembilan kenderaan di Lebuhraya Kajang SILK pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tiga penunggang motosikal cedera dalam nahas membabitkan sembilan kenderaan di Kilometer 25.7 Lebuhraya Kajang SILK (SILK) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.50 pagi dan membabitkan lima kereta serta empat motosikal.

“Kemalangan itu membabitkan sembilan kenderaan terdiri daripada Perodua Aruz, Perodua Alza, Land Rover, Perodua Bezza dan Perodua Myvi serta empat motosikal iaitu dua Honda RS150, WMoto Xtreme dan SYM VF3i.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan salah seorang pemandu kereta mengekori terlalu rapat sehingga tidak dapat memberhentikan kenderaan dalam keadaan selamat apabila berlaku situasi membrek secara mengejut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Naazron berkata, keadaan itu menyebabkan kenderaan terbabit cuba mengelak dan menukar lorong bagi mengurangkan impak pelanggaran namun terlanggar kenderaan dan motosikal lain yang datang dari arah sisi dan belakang.

“Akibat kemalangan itu, tiga penunggang motosikal mengalami patah tangan, luka di muka serta beberapa anggota badan lain.

“Mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan, manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengamalkan pemanduan berhemah serta berhati-hati bagi mengelak kemalangan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Seramai tiga penunggang motosikal cedera dalam nahas di Lebuhraya Kajang SILK
  • Kemalangan melibatkan lima kereta dan empat motosikal
  • Punca kemalangan adalah kegagalan salah seorang pemandu kereta mengekori terlalu rapat
  • Tiga penunggang motosikal mengalami patah tangan dan luka di muka
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!