Penunggang motosikal langgar lari murid ketika melintas depan sekolah

Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang murid sekolah dilanggar motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang murid sekolah dilanggar motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar seorang murid perempuan berusia lapan tahun ketika mangsa melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian itu berlaku ketika waktu pulang sekolah sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 42 saat tular di laman Facebook sebuah portal pada Khamis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang melintas bersama rakannya telah dilanggar sebuah motosikal menyebabkan dia cedera ringan di buku lali kiri.

“Pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Dalam pada itu, Helmi menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati khususnya di kawasan sekolah selain sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.

Terdahulu tular di media sosial rakaman CCTV menunjukkan dua murid sekolah sedang melintas jalan sambil diiringi pengawal keselamatan sekolah.

Bagaimanapun ketika tiba di seberang jalan, seorang daripada mereka dirempuh oleh motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

Tetapi penunggang berkenaan bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan tanpa memberi bantuan mahupun bertanyakan keadaan murid terbabit.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar murid perempuan berusia lapan tahun di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh
  • Kejadian berlaku ketika waktu pulang sekolah dan telah tular di media sosial
  • Mangsa cedera ringan di buku lali kiri
  • Siasatan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959
  • Pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati di kawasan sekolah dan patuhi peraturan lalu lintas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!