HRD Corp anjur NHCCE 2025, pacu transformasi modal insan

Steven berucap pada Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Steven berucap pada Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - HRD Corporation dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menganjurkan ‘National Human Capital Conference and Exhibition’ (NHCCE) 2025 iaitu persidangan tahunan mengenai transformasi modal insan dan kemahiran yang terbesar di pentas ASEAN.

Acara itu dibuat bagi menyerlahkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memacu agenda peningkatan dan latihan semula kemahiran serta tenaga kerja yang berdaya saing menghadapi cabaran global pada masa hadapan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, NHCCE merupakan platform penting buat pemikir dari serata dunia bagi membahaskan perubahan pesat teknologi disebabkan kecerdasan buatan (AI), tuntutan amalan kelestarian dalam pekerjaan, perubahan demografi dan mobiliti bakat merentasi sempadan.

“Ini medium untuk barisan pemikir dan industri mempersiapkan golongan pekerja yang membangunkan masa depan negara. Saya pasti manfaat diperoleh daripada NHCCE 2025 menjangkaui ekspektasi kita semua.

“Suka untuk saya umumkan bahawa melalui NHCCE, tahun ini HRD Corp capai keuntungan dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM1 juta.

“Lebihannya digunakan untuk melatih pekerja gig memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan dua bulan lalu. Malaysia sasar 35 pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian NHCCE 2025 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan; Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Dyah Roro Esti Widya Putri dan ramai lagi.

Berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ini, acara tersebut menarik penyertaan kira-kira 3,000 delegasi dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Bertemakan ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’, persidangan itu menampilkan lebih 30 penceramah ternama, antarabangsa dan tempatan di samping pameran yang mengetengahkan inovasi terkini dalam pembangunan modal insan.

Steven bagaimanapun memberitahu, negara memerlukan jutaan tenaga pengajar dan juruteknik, sekali gus menuntut pelaksanaan program latihan yang lebih menyeluruh bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kajian pada 2022 menunjukkan hampir separuh pekerja sektor gig hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma.

“Kumpulan itu berpotensi besar mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi, namun potensi itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kerja gig memang menjanjikan pendapatan segera, tetapi pendidikan dan kemahiran mereka tidak digunakan secara optimum. Ia bukan sahaja merugikan individu, malah menjejaskan aspirasi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berpandangan, komitmen kolektif NHCCE adalah untuk menambahbaik pembangunan modal insan dan kemahiran demi masa depan ASEAN.

“Acara ini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai persidangan modal insan terbesar di Asia Tenggara, satu pengiktirafan yang amat signifikan.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua delegasi dari dalam dan luar negara yang sudi menyumbang idea di persidangan ini.

“Ini manifestasi jelas tentang betapa pentingnya pembangunan modal insan dan kemahiran dalam pekerjaan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • HRD Corporation dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia menganjurkan National Human Capital Conference and Exhibition 2025 di Kuala Lumpur
  • Acara tersebut bertujuan untuk memacu peningkatan dan latihan kemahiran tenaga kerja ASEAN menghadapi cabaran global
  • Steven Sim Chee Keong menyatakan NHCCE sebagai platform penting untuk membahas perubahan teknologi, kelestarian, demografi, dan mobiliti bakat
  • Melalui NHCCE, HRD Corp mencapai keuntungan dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu RM1 juta yang akan digunakan untuk melatih pekerja gig
  • Acara ini menarik kira-kira 3,000 delegasi dan menampilkan lebih 30 penceramah serta inovasi pembangunan modal insan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!