Lebih 650 pelajar SPM 2024 terima tajaan pendidikan Petronas

Ruslan (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ruslan (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Seramai lebih 650 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menerima tajaan pendidikan daripada Petronas menerusi Powering Knowledge dalam satu majlis baru-baru ini.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Ruslan Islahudin berkata, tajaan tersebut membuka peluang luas kepada pelajar untuk meneroka potensi diri di peringkat lebih tinggi.

“Tajaan ini membuka pintu kepada dunia penuh kemungkinan, bukan sahaja ke universiti terkemuka dalam dan luar negara tetapi juga memperluas cakrawala ilmu serta membekalkan pelajar dengan keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“Tahun ini sahaja, Petronas memperuntukkan sebanyak RM319 juta bagi membantu pelajar berpotensi tinggi. Ini mencerminkan komitmen kami membina ekosistem pendidikan yang kukuh dan menyediakan laluan ke arah peluang pekerjaan,” katanya.

Ruslan (kanan) menyampaikan penghargaan tahniah kepada penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025.
Ruslan (kanan) menyampaikan penghargaan tahniah kepada penerima Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas 2025 dan dihadiri Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir Bacho Pilong.

Penerima anugerah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bakal melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, pemasaran dan bidang lain yang relevan.

Mereka terpilih sama ada melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP) atau universiti terkemuka di dalam dan luar negara termasuk di United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan serta Singapura.

Artikel Berkaitan:

Proses pemilihan dijalankan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan di seluruh negara, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Tajaan pendidikan itu merupakan sebahagian daripada program utama syarikat berkenaan yang menzahirkan komitmen berterusan Petronas terhadap pembangunan modal insan negara.

Sejak diperkenalkan pada 1975, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia dengan jumlah pelaburan dianggarkan mencecah RM4.2 bilion.

Inisiatif Powering Knowledge turut menyokong agenda kelestarian Petronas dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 4) dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan yang berupaya memberi impak sosial berkekalan.

Ringkasan AI

  • Lebih 650 pelajar SPM 2024 menerima tajaan pendidikan dari Petronas
  • Tajaan tersebut bertujuan memperluas cakrawala ilmu dan peluang pekerjaan bagi pelajar
  • Petronas memperuntukkan RM319 juta pada tahun ini untuk tajaan pendidikan
  • Pelajar-pelajar terpilih akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dan lain-lain di universiti terkemuka
  • Program tajaan pendidikan Petronas telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar sejak 1975

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!