‘Ada lagi kecederaan, bahu Ardell Aryana koyak’ - Nadzmi

SHAH ALAM - Pelakon, Nadzmi Adhwa memaklumkan isterinya, Ardell Aryana mempunyai kesan kecederaan koyak pada bahagian bahunya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Nadzmi menerusi hantaran di platform Threads pada Ahad.
“Ada lagi kecederaan juga dekat bahu Ardell, bahu dia koyak. Allahuakbar.
“Semoga yang memperlakukan isteri saya itu mati dalam keadaan paling teruk sekali. Amin,” katanya.
Nadzmi turut memberi amaran kepada pihak yang cuba menyebarkan spekulasi atau dakwaan tidak benar berhubung keadaan yang menimpa isterinya ketika ini.
“Ardell antara yang mencuri tumpuan pada misi kali ini sebab itu dia kena. Sebab views dia paling tinggi?
“Siapa cakap bukan-bukan pasal bini saya siap. Dunia sedang memerhati,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan susulan mengalami tekanan darah rendah dan kecederaan sewaktu dalam tahanan tentera Israel.
Difahamkan pelakon itu menerima layanan kejam termasuk ditarik rambut dengan kasar, selain ditumbuk di bahagian muka oleh rejim zionis sehingga mengalami kecederaan ketika tentera Israel memintas kapal dinaiki sukarelawan berkenaan.
Khamis lalu, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa Gaza.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusyai Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang (kapal Inana); Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abduliah (kapal Fair Lady); serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Harogs, Muhd Haikal Lugman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Ringkasan AI
- Pelakon Nadzmi Adhwa memaklumkan isterinya, Ardell Aryana, mengalami kecederaan koyak pada bahu
- Nadzmi memberi amaran terhadap sebaran spekulasi atau dakwaan tidak benar mengenai kecederaan isterinya
- Ardell Aryana dimasukkan ke hospital di Istanbul, Turkiye, akibat tekanan darah rendah dan kecederaan sewaktu tahanan tentera Israel
- Pelakon itu diperlakukan kejam termasuk ditarik rambut dan ditumbuk di muka oleh rejim zionis
- Dua puluh tiga aktivis rakyat Malaysia termasuk Ardell Aryana ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa Gaza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

