Lautan rakyat sertai himpunan aman solidariti GSF

MELAKA – Pempengaruh media sosial, Dak Nor antara individu yang tampil memberi ucapan penuh semangat dalam Perhimpunan Aman Solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlangsung di Banda Hilir, di sini, pada petang Ahad.
Perhimpunan yang bermula di bangunan Stadthuys sebelum berarak hampir satu kilometer ke bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan berjaya menghimpunkan lebih 5,000 peserta pelbagai usia, bangsa dan agama yang bersatu menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Dak Nor atau nama sebenarnya Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lio, berkata, Palestin telah dijajah sejak 1948 dan hingga kini masih belum bebas daripada cengkaman rejim Zionis.

"Nor berdoa agar seluruh umat Islam dapat bersatu menentang tentera Zionis sampai bila-bila, sehingga akhir hayat kita.
"Kita semua perlu berusaha membebaskan Palestin sama ada melalui catatan, doa atau perjuangan," katanya ketika berucap di hadapan ribuan peserta.
Perhimpunan aman itu dianjurkan lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama kerajaan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi memastikan kelancaran program.
Sementara itu, Pengasas Akademi Kepimpinan Anak Bangsa, Afiq Nordin, himpunan itu berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang dan agama, termasuk peserta dari Negeri Sembilan dan Johor yang turut hadir menyatakan solidariti.
"Ini bukan perhimpunan agama, sebaliknya satu suara rakyat Malaysia yang menolak kezaliman terhadap rakyat Palestin dan aktivis keamanan dunia," katanya.

Antara pemidato lain yang turut serta ialah Pegawai Strategik Cinta Gaza Malaysia, Dr. Sarafuddin Abdul Syahid Sowell, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin, serta Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Program yang berlangsung lebih dua jam itu menjadi simbol perpaduan dan semangat kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Terdahulu, media melaporkan misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk 23 rakyat Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai tanda solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan bantuan untuk penduduk yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan tersebut ditahan dan kini dalam perjalanan pulang melalui Turkiye, selepas dibebaskan hasil rundingan diplomatik pelbagai hala yang turut mendapat persetujuan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Ringkasan AI
- Pempengaruh media sosial, Dak Nor, menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Aman Solidariti Global Sumud Flotilla di Melaka
- Lebih 5,000 peserta pelbagai usia, bangsa, dan agama berkumpul menunjukkan sokongan untuk rakyat Palestin
- Perhimpunan ini disokong oleh lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama kerajaan negeri, PDRM, dan MBMB
- Afiq Nordin menekankan bahwa perhimpunan itu menyatukan rakyat tanpa memandang latar belakang atau agama
- Program ini menjadi simbol perpaduan dan semangat kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

