GSF: Kerajaan akan anjur himpunan khas rai kepulangan ‘wira’, ‘wirawati’ kemanusiaan - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani akan menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan kesemua 23 ‘wira’ dan ‘wirawati’ negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air.

Perdana Menteri berkata, himpunan itu juga diadakan bagi terus menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.

"Insya-ALLAH, saya menantikan ketibaan mereka di Kuala Lumpur, kita juga akan cuba sesuaikan masa, pada waktu malam, kita buat himpunan sedikit untuk (mereka) kongsikan pengalaman, bagus juga," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook yang disertakan rakaman perbualan bersama delegasi Malaysia di Istanbul, Turkiye.

Pada Khamis lepas, kesemua 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Mereka berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul jam 8.40 malam waktu Malaysia pada Sabtu.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, semua delegasi Malaysia itu dijadual berlepas pulang ke tanah air, esok.

Anwar yang juga merupakan Penaung Sumud Nusantara turut memaklumkan semua rakyat Malaysia berkenaan berada dalam keadaan baik dan bersemangat kental.

Dalam perbualan itu, Anwar berkata, beliau turut menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.

"Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy). - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani akan menganjurkan himpunan khas untuk meraikan kepulangan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Palestin
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Palestin
  • Kesemua 23 aktivis ditahan tentera rejim Zionis dan kemudian dibebaskan serta tiba di Istanbul sebelum berlepas pulang ke Malaysia
  • Anwar mengucapkan penghargaan atas keberanian dan pengorbanan delegasi Malaysia tersebut
  • Para aktivis ini dianggap sebagai simbol keberanian rakyat Malaysia yang mendukung nilai kemanusiaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!