'Jangan hanya benci rasuah, tapi laporkanlah' - SPRM

Mohamad Zakkuan (empat dari kiri) merasmikan Program Desa Bebas Rasuah 2025 SPRM Kuala Lumpur dan Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 di Kampung Malaysia Raya pada Ahad.
Mohamad Zakkuan (empat dari kiri) merasmikan Program Desa Bebas Rasuah 2025 SPRM Kuala Lumpur dan Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 di Kampung Malaysia Raya pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Komuniti merupakan benteng paling hadapan dalam pembentukan generasi berbudaya integriti, bukan sahaja membenci rasuah tetapi juga berani melaporkannya.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, pihaknya menjalin kerjasama rapat dengan komuniti bagi memastikan mereka tampil ke hadapan untuk membuat laporan berkaitan isu rasuah.

Menurutnya, SPRM boleh menyiasat dan mendakwa, namun tanpa sokongan masyarakat, perjuangan membanteras rasuah tidak akan berjaya.

“Jangan hanya membenci rasuah, tetapi laporkanlah ia. Kalau nampak, kalau tahu, kalau dengar, jangan simpan, laporkan kepada SPRM.

“Ibu bapa, didiklah anak-anak sejak kecil tentang nilai kejujuran. Jangan sesekali biasakan mereka dengan ‘duit upah’ atau ‘tolong tutup kesalahan’," katanya semasa Program Desa Bebas Rasuah 2025 SPRM Kuala Lumpur dan Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 di Kampung Malaysia Raya di sini pada Ahad.

Mohamad Zakkuan berkata, generasi muda termasuk pelajar dan belia perlu berani menolak sogokan serta menanam nilai keberanian untuk berkata ‘tidak’ kepada rasuah.

"Generasi muda ialah harapan negara; jika mereka bersih, negara kita juga bersih,” katanya.

Sejak menerajui SPRM Kuala Lumpur empat bulan lalu, Mohamad Zakkuan berkata, beliau telah melaksanakan libat urus bersama agensi kerajaan bagi menekankan peranan mereka dalam melaporkan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di dalam organisasi masing-masing.

Katanya, SPRM turut menyediakan ganjaran khas kepada mana-mana individu termasuk penjawat awam yang melaporkan perbuatan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai trend laporan yang diterima SPRM Kuala Lumpur, jelasnya, berlaku peningkatan jumlah laporan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya membabitkan agensi penguat kuasa dan orang awam.

“Orang awam membuat laporan lazimnya terhadap penguat kuasa, selain terdapat juga agensi penguat kuasa yang melaporkan kepada kami mengenai cubaan rasuah oleh orang awam.

“Rasuah ini ibarat api, jika kecil ia nampak seperti boleh dikawal, tetapi jika dibiarkan ia akan marak,” katanya.

Tambah beliau, tindakan kecil seperti melaporkan kes rasuah mampu menyelamatkan masyarakat daripada terus dicengkam budaya kotor tersebut.

Sebelum itu, program bersama komuniti berkenaan turut melibatkan kerjasama rakan strategik SPRM termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bank Islam, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ringkasan AI

  • Komuniti adalah benteng utama dalam membangun generasi berintegriti dan berani melawan rasuah
  • SPRM menjalin kerjasama dengan komuniti untuk memastikan laporan rasuah dibuat
  • Tanpa sokongan masyarakat, usaha membanteras rasuah tidak akan berhasil
  • Mohamad Zakkuan menekankan pentingnya pendidikan nilai kejujuran sejak kecil dan melibatkan generasi muda dalam perjuangan menolak rasuah
  • SPRM menyediakan ganjaran untuk individu yang melaporkan perbuatan rasuah, dengan trend laporan di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!