Pelayaran GSF beri kesedaran kepada dunia kekejaman Israel di Palestin - Anwar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelayaran misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Palestin telah berjaya memberikan kesedaran kepada ratusan juta penduduk dunia mengenai kekejaman rejim Zionis.
Anwar yang juga penaung Sumud Nusantara berkata, biarpun mengetahui dari awal misi terbabit akan berdepan dengan kesukaran untuk sampai ke perairan Gaza, para aktivis GSF telah memberikan sumbangan yang cukup besar.
"Rejim ini melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan. Hal ini hanya berlaku kalau negara itu mempunyai pemimpin, falsafah yang sangat kejam tidak bertamadun.
"Negara bertamadun sekurang-kurangnya akan memberikan ruang untuk bantuan kemanusiaan," kata beliau dalam siaran langsung menerusi Facebook hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, misi GSF merupakan pengajaran terbesar kepada dunia dan beliau percaya rundingan mutakhir menerusi pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump adalah sebahagian daripada hasil sentimen menyeluruh penduduk dunia terhadap isu Palestin.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Perkembangan terkini dimaklumkan Perdana Menteri hari ini menyaksikan sebanyak 23 rakyat Malaysia anggota delegasi GSF yang berada dalam tahanan rejim Zionis sejak Khamis, akan dibawa keluar dari Israel hari ini menggunakan sebuah pesawat khas ke Istanbul, Turkiye. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan misi Global Sumud Flotilla ke Palestin telah meningkatkan kesedaran global tentang kekejaman rejim Zionis
- Walaupun mengetahui akan kesukaran, aktivis GSF telah memberikan sumbangan besar dalam isu ini
- Anwar menegaskan rejim Zionis menghalang bantuan kemanusiaan, menunjukkan kekejaman dan ketidakbertamadunan mereka
- Beliau percaya misi GSF mengajar dunia dan rundingan damai terkini AS sebahagian disebabkan oleh reaksi global terhadap isu Palestin
- Lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia telah berlayar sebagai simbol solidariti dan membawa bantuan kepada penduduk Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
