[VIDEO] Pelan Damai Trump: Malaysia sambut baik persetujuan bersyarat Hamas

A
A
A

SEPANG - Malaysia menyambut baik persetujuan bersyarat Hamas kepada 20 perkara dalam pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan tersebut diharap akan menjadi titik tolak kepada kedamaian berkekalan bagi Palestin dan rakyatnya.

"Saya dapat tahu pagi tadi bahawa Hamas telah menerima secara bersyarat 20 perkara yang diutarakan Presiden Trump untuk menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

"Maka tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestin dibunuh," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Trump menetapkan sehingga 6 petang Ahad waktu Washington untuk Hamas meluluskan pelannya.

Pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Gaza sebagai zon bebas senjata dengan mekanisme pemerintahan peralihan yang di pantau secara langsung oleh Trump melalui sebuah badan antarabangsa yang ditugaskan mengawasi pelaksanaannya.

Ia termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.

Dalam pada itu Mohamad menjangkakan laluan bantuan kemanusian melalui pintu Rafah dan Jambatan King Hussein akan dibuka apabila pelan tersebut dilaksanakan.

Justeru beliau menjelaskan, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat boleh berhubung terus dengan Wisma Putra supaya ia dapat diatur dengan cepat dan tersusun.

Artikel Berkaitan:

"Pihak yang hendak membantu selepas ini elok pergi ke Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein kerana apabila ia dibuka nanti, maka urusan menghantar bantuan akan berlaku dengan cepat dan teratur," katanya.

Sebelum ini Hamas dilapor bersetuju dengan sebahagian daripada syarat terkandung dalam pelan keamanan Trump untuk menamatkan perang di Gaza.

Persetujuan itu termasuk pembebasan tebusan, namun Hamas dikatakan tidak bersetuju dengan syarat pelucutan senjata kerana pihaknya menegaskan mahu rundingan lanjut diadakan.

 

Ringkasan AI

  • Malaysia menyambut baik persetujuan bersyarat Hamas kepada 20 perkara dalam pelan damai Donald Trump
  • Perkembangan ini diharap menjadi titik tolak kepada kedamaian berkekalan bagi Palestin
  • Hamas menerima secara bersyarat 20 perkara tersebut untuk menghentikan pembunuhan terhadap rakyat Palestin
  • Pelan damai Trump bertujuan menjadikan Gaza zon bebas senjata dengan pemerintahan peralihan yang dipantau secara langsung
  • Pelan tersebut merangkumi pembebasan semua tawanan Israel dan tahanan Palestin sebagai pertukaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!