GSF: Delegasi Malaysia sudah dinasihatkan tandatangan borang berlepas

SEPANG - Rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Ketziot, Israel telah dinasihatkan menandatangani borang 'request for immediate departure' atau 'Permohonan untuk Pelepasan Segera'.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihak Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah berhubung dengan 20 daripada 23 rakyat Malaysia yang ditahan, manakala tiga lagi akan diuruskan dalam masa terdekat.
"SNCC bersama kerajaan Malaysia kini berada dalam siap sedia untuk membawa pulang semua 23 delegasi Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis.
"SNCC menggesa seluruh rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotila ini dan melaksanakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan di Gaza dibuka," katanya pada sidang akhbar di SNCC Bandar Serenia, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan peserta flotilla dipaksa melutut dengan tangan bergari 'zip-tie' bagi tempoh anggaran lima jam selepas sebahagian daripada mereka melaungkan slogan 'Free Palestine'.
Selain itu menurutnya, peserta juga dinafikan akses asas seperti air, tandas, dan ubat-ubatan.
"SNCC menerima makluman seramai 462 peserta telah ditahan rejim Zionis dan sedang melalui proses prosiding bersama pihak berkuasa imigresen rejim Zionis Israel.
"Peserta flotila pada awalnya telah dinafikan hak bertemu peguam, namun dalam tempoh 24 jam lalu, peguam ADALAH telah bertemu 331 peserta Global Sumud Flotilla di Pelabuhan Ashdod," jelasnya.
Beliau turut mengesahkan semua barangan bantuan kemanusiaan seperti beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan dibawa dalam misi berkenaan.
"Kami percaya semua barangan itu masih berada di atas kapal yang telah dipintas oleh rejim Israel," katanya.
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Ketziot, Israel dinasihatkan tandatangani 'Permohonan untuk Pelepasan Segera'
- Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) dan kerajaan Malaysia dalam siap sedia untuk membawa pulang semua 23 delegasi Malaysia sebaik menerima isyarat dari kerajaan Turkiye
- Peserta flotilla dipaksa melutut dengan tangan bergari 'zip-tie' selama lima jam selepas laungkan slogan 'Free Palestine'
- Peserta dinafikan akses asas seperti air, tandas dan ubat-ubatan
- Barangan bantuan kemanusiaan seperti beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan dibawa dalam misi dan dipercayai masih atas kapal yang dipintas oleh rejim Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

