Belia baru berkahwin berpeluang miliki rumah sendiri - Hajiji

PITAS - Belia yang baru mendirikan rumah tangga dalam kalangan golongan kurang berkemampuan berpeluang memiliki rumah sendiri menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) apabila 10 lagi unit ditambah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN bermula tahun depan, berbanding 40 unit pada tahun ini.
"Dulu hanya ada empat atau lima buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tapi tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.
"Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka, di sini pada Sabtu.
Bercakap mengenai projek perumahan dan kedai LPPB itu, Hajiji yakin ia bakal memberi impak besar kepada masyarakat di Pitas dengan menyediakan peluang pekerjaan, selain membuka ruang kepada aktiviti perniagaan serta perkhidmatan yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, projek berkenaan turut memberi peluang kepada penduduk memiliki rumah sendiri, sekali gus membuktikan kesungguhan, keikhlasan serta keprihatinan kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan luar bandar.
"Saya dimaklumkan bahawa projek ini bakal melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah, iaitu unit rumah berkembar setingkat dan unit rumah teres setingkat.
"Projek ini yang akan didirikan di atas tanah seluas 37.60 ekar milik LPPB juga mempunyai 171 unit kedai yang terdiri daripada unit kedai atau pejabat dua tingkat, pasar raya besar, bilik pameran dan kios.
"Saya berharap projek melalui usahasama kerajaan dan swasta ini dapat dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual dan menepati perjanjian yang telah dimeterai, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat," katanya.
Menurut Hajiji, pendekatan kerjasama kerajaan dan swasta seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap pembangunan dilaksanakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.
"Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah membolehkan sumber kewangan kerajaan difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan pembangunan mana-mana daerah termasuk Pitas yang turut menerima pelbagai projek pembangunan sejak lima tahun lalu.
Pada majlis itu, Hajiji turut mengumumkan beberapa projek baharu untuk daerah Pitas, termasuk pembinaan mini kompleks sukan, terminal bas awam bernilai RM1 juta dan rumah budaya di Dataran Pitas bernilai RM1.4 juta.
Selain itu, beliau turut memberi perhatian terhadap projek ternakan udang yang dijalankan bersama Yayasan Sabah dan sebuah syarikat yang terbengkalai sebelum ini agar dapat dihidupkan semula bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana ekonomi tempatan.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan berbincang dengan Sabah Forest Development Authority (Safoda) berhubung sebidang tanah yang dimohon penduduk supaya dikeluarkan daripada kawasan agensi itu di Pitas.
Hajiji dalam pada itu turut menyerahkan sebanyak 468 geran tanah melibatkan keluasan 1,273.432 hektar kepada penerima terdiri daripada 228 geran tanah di bawah Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) dengan keluasan 863.735 hektar, 239 geran tanah bagi permohonan Tanah Negeri (NT) seluas 406.11 hektar dan satu geran tapak Balai Polis Pitas berkeluasan 3.587 hektar.
Ringkasan AI
- Belia yang baru mendirikan rumah tangga dan kurang berkemampuan di Sabah berpeluang memiliki rumah sendiri melalui program Rumah Mesra SMJ dengan penambahan 10 unit di setiap DUN tahun depan
- Jumlah unit Rumah Mesra SMJ akan menjadi 50 unit di setiap kawasan DUN berbanding 40 unit tahun ini
- Projek perumahan dan kedai oleh LPPB di Kampung Taka dijangka memberi impak besar dengan menyediakan peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan
- Projek tersebut melibatkan pembinaan 320 unit rumah dan 171 unit kedai di atas tanah seluas 37.60 ekar
- Kerjasama kerajaan negeri dan swasta dalam pembangunan projek membolehkan penumpuan sumber kewangan ke arah pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
