Pelan damai Trump helah selamatkan Israel daripada kekalahan - Abdul Hadi

Hantaran Abdul Hadi di Facebook pada Sabtu.
Hantaran Abdul Hadi di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan pelan damai bagi gencatan senjata di Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump hanyalah helah untuk menyelamatkan Israel daripada kekalahan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, cadangan berkenaan dikemukakan selepas Israel gagal mencapai matlamat operasi menawan Gaza serta tidak berjaya menghapuskan Hamas melalui kekuatan ketenteraan.

Katanya, antara tawaran dalam pelan damai tersebut ialah memberikan laluan bantuan kemanusiaan serta mewujudkan perdamaian berkekalan di Gaza.

“Pelan damai itu juga menetapkan syarat yang memberikan jaminan keamanan kepada Israel. Paling penting ialah melucutkan senjata Hamas serta memulangkan tawanan Israel, manakala mereka yang terbunuh akan diganti dengan pembebasan tahanan Palestin.

“Sangat terang lagi bersuluh bahawa tawaran tersebut merupakan jaminan keselamatan percuma kepada Israel atau menyelamatkan Israel daripada kekalahan dengan cara Hamas menyerah kalah secara percuma,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Sabtu.

Trump pada Isnin lalu membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.

Pelan itu mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan diketuai sebuah badan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pelan berkenaan yang turut mencadangkan tentera pengaman dari negara-negara Arab terpilih serta melantik bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair sebagai pengarah pentadbiran Gaza hanyalah meniru pendekatan Amerika Syarikat ketika menakluki Iraq.

Menurut beliau, Israel menerima pelan tersebut dengan mudah selepas rundingan antara Trump dan Netanyahu.

Artikel Berkaitan:

“Tidak diketahui sama ada ia cadangan Netanyahu atau Trump,” ujarnya.

Abdul Hadi menegaskan, pelan damai itu turut mengulangi corak lama kuasa besar dunia yang sering mencadangkan gencatan senjata setiap kali Israel berdepan kegagalan ketenteraan.

“Langkah sama pernah dilakukan pada tahun 1948 apabila melihat kemaraan mujahidin kumpulan Islam terhadap tentera Israel yang gagal menawan Baitulmaqdis.

“Begitu juga ketika Israel dikalahkan oleh tentera Mesir dalam Perang Ramadan 1973 (Perang Yom Kippur), mereka menggunakan gencatan senjata,” jelasnya.

Beliau menambah, keadaan sama berulang dengan beberapa perjanjian damai antaranya Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993, serta penyelesaian dua negara yang menyelamatkan kawasan ditawan Israel pada Perang Enam Hari 1967 termasuk Baitulmaqdis.

Tegasnya, cadangan Trump hanyalah penipuan kerana tidak menyentuh hak sebenar rakyat Palestin.

“Cadangan perdamaian Trump dan Israel ialah penipuan yang terbuka, laksana burung unta menyembunyikan kepala di dalam tanah sedangkan badannya masih terdedah, atau ibarat menutup bangkai dengan tapak tangan,” sindirnya.

 

Ringkasan AI

  • Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap pelan damai di Gaza oleh Donald Trump sebagai helah untuk menyelamatkan Israel
  • Cadangan pelan itu dibuat setelah Israel gagal menawan Gaza dan menghapuskan Hamas
  • Pelan tersebut menawarkan bantuan kemanusiaan dan keamanan kepada Israel dengan syarat melucutkan senjata Hamas
  • Trump membentangkan pelan damai yang mengandungi gencatan senjata dan pembentukan kerajaan peralihan
  • Abdul Hadi menyatakan pelan damai serupa telah digunakan sebelum ini untuk menyelamatkan Israel dari kegagalan ketenteraan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!