'Perkukuh solidariti terus bersuara, boikot produk berkaitan Israel' - MB Kelantan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab Israel yang menahan dan menghalang kemasukan kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki Gaza pada Khamis.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia jelas menunjukkan kekejaman Israel yang terus melanggar undang-undang antarabangsa serta sanggup menyekat bantuan asas daripada sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat penindasan berterusan.
"Misi kemanusiaan yang disertai sukarelawan daripada 46 buah negara, termasuk 26 rakyat Malaysia dan ada antaranya dari Kelantan.
"Ia dilaksanakan secara aman tanpa membawa sebarang senjata, sebaliknya hanya membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan, namun tetap dihalang dan sebahagiannya telah ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, Kelantan menzahirkan solidariti penuh bersama seluruh peserta GSF dan rakyat Palestin.
"Marilah kita bersatu hati memperkukuh solidariti dengan terus bersuara, meningkatkan kesedaran, memboikot produk yang berkaitan dengan Israel.
"Selain itu marilah kita terus berdoa dan menunaikan Solat Hajat agar saudara kita di Palestin dan para sukarelawan misi ini dikurniakan keselamatan serta kejayaan," katanya.
Menurut Mohd Nassuruddin, kerajaan negeri berharap usaha murni ini berjalan lancar dan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Palestin di Gaza yang memerlukan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Kelantan mengecam tindakan Israel menahan kapal kemanusiaan Global Sumud Flotilla Israel dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang bantuan kepada Palestin Misi kemanusiaan ini melibatkan sukarelawan dari 46 negara termasuk 26 warga Malaysia Kapal membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan namun dihalang dan ditahan Kelantan menzahirkan solidariti bersama peserta GSF dan rakyat Palestin, meminta umum memboikot produk Israel dan berdoa untuk keselamatan mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

