Ustaz Firdaus letak jawatan imam, Pengerusi Masjid Al-Busyra

Tangkap layar video pengumuman Mohd Firdaus yang meletakkan jawatan sebagai imam dan Pengerusi Masjid Al-Busyra di Merbok pada Jumaat.
Tangkap layar video pengumuman Mohd Firdaus yang meletakkan jawatan sebagai imam dan Pengerusi Masjid Al-Busyra di Merbok pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Selepas tujuh tahun memegang amanah sebagai imam dan Pengerusi Masjid Al-Busyra di Merbok, Mohd Firdaus Mat Akhir mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat dalam satu video yang dimuatkan di laman media sosialnya selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Saya cuba korbankan perasaan saya, hati saya, masa saya, wang ringgit saya untuk Masjid Al-Busyra Merbok,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Agama dan ahli jawatankuasa masjid yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Menurut beliau, keputusan untuk berundur bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia dibuat atas kesedaran bahawa kepimpinan perlu diberi ruang kepada pelapis baharu.

“Saya dah tak mampu nak beri tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan masjid. Sampai bila saya kena ada dekat sini. Saya adalah manusia. Saya bukan boleh hidup sampai bila-bila,” ujarnya.

Mohd Firdaus turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya terdapat kesilapan sepanjang beliau memimpin masjid, termasuk kepada ahli jawatankuasa, pegawai, jemaah dan penduduk setempat.

“Saya minta maaf kalau ada silap perkataan, tindakan atau keputusan yang pernah menyinggung mana-mana pihak. Halalkan apa saja yang saya terlanjur lakukan tanpa kesedaran saya,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu menyelesaikan beberapa perkara yang masih belum selesai, termasuk sumbangan hasil daripada platform TikTok yang telah disalurkan sepenuhnya kepada masjid.

“Sejak awal saya masuk ke dunia TikTok, saya dah berjanji semua ‘gift’ yang diberikan akan saya infak kepada masjid. Alhamdulillah, sehingga kini saya telah menyerahkan lebih RM42,000 kepada Masjid Al-Busyra,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa operasi Al-Busyra Bistro, kedai nasi Arab miliknya yang beroperasi dalam kawasan masjid, akan ditamatkan pada 12 Oktober dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid untuk diuruskan.

“Saya ingin berterima kasih atas sokongan padu daripada jawatankuasa dan pegawai masjid. Insya-Allah, saya akan terus menyokong perjuangan ini walaupun bukan lagi sebagai pengerusi,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • SUNGAI PETANI – Selepas tujuh tahun memegang amanah sebagai imam dan Pengerusi Masjid Al-Busyra di Merbok, Mohd Firdaus Mat Akhir mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat
  • Pengumuman itu dibuat dalam satu video yang dimuatkan di laman media sosialnya selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan
  • Menurut beliau, keputusan untuk berundur dibuat atas kesedaran bahawa kepimpinan perlu diberi ruang kepada pelapis baharu
  • Mohd Firdaus turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya terdapat kesilapan sepanjang beliau memimpin masjid
  • Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu menyelesaikan beberapa perkara yang masih belum selesai, termasuk sumbangan hasil daripada platform TikTok yang telah disalurkan sepenuhnya kepada masjid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!