LTdL 2025: Terlibat kemalangan, Malucelli terpaksa tarik diri

PENYANDANG dan pendahulu jersi jingga Le Tour de Langkawi (LTdL) Matteo Malucelli daripada XDS Astana Team, gagal menamatkan perlumbaan Peringkat Keenam dari Shah Alam Ke Port Dickson, hari ini.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba kelahiran Itali itu terpaksa menarik diri selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 16.5 pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca hujan.
Kemalangan itu turut melibatkan beberapa pelumba termasuk Erland Blikra daripada pasukan Uno-X Mobility, namun pelumba Norway itu kembali meneruskan perlumbaan.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Malucelli terpaksa mengucapkan selamat tinggal untuk baki dua peringkat perlumbaan selepas ini.
Untuk rekod, pada LTdL musim ini Malucelli telah memenangi perlumbaan Peringkat Pertama (mengelilingi Pulau Langkawi), Peringkat Ketiga (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat Keempat (Kuala Terengganu-Kemaman).
Sementara itu, Pengarah Sukan Pasukan XDS Astana Mark Renshaw, mengesahkan Malucelli tidak akan meneruskan perlumbaan susulan kecederaan pada bahagian bawah kaki kirinya.
"Doktor akan melakukan pemeriksaan sinar-X bagi menentukan tahap kecederaan, namun apa yang sudah dipastikan ialah dia tidak lagi dapat meneruskan perlumbaan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, menyifatkan penarikan diri pelumba Itali berusia 31 tahun itu sebagai kehilangan besar buat perlumbaan edisi ke-29.
"Beliau merupakan juara Jersi Jingga musim lalu dan telah meraih tiga kemenangan peringkat pada tahun ini. Namun, untuk kekal dalam perebutan jersi, setiap pelumba wajib menamatkan kesemua lapan peringkat.
"Justeru, mata yang dikumpul Malucelli terbatal secara automatik," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Matteo Malucelli daripada XDS Astana Team terlibat dalam kemalangan di kilometer 16.5 Perlumbaan itu berlangsung dalam cuaca hujan Kemalangan melibatkan beberapa pelumba termasuk Erland Blikra dari pasukan Uno-X Mobility Malucelli gagal menamatkan Peringkat Keenam dari Shah Alam ke Port Dickson Malucelli telah memenangi Perlumbaan Peringkat Pertama, Ketiga, dan Keempat LTdL musim ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
