Geng curi kabel terlibat kemalangan ketika dikejar polis

Tindakan 4x4 dinaiki suspek cuba melarikan diri mengakibatkan sebuah lori membawa muatan getah skrap dan Perodua Axia kemalangan.
Tindakan 4x4 dinaiki suspek cuba melarikan diri mengakibatkan sebuah lori membawa muatan getah skrap dan Perodua Axia kemalangan.
A
A
A

SEREMBAN – Cubaan sebuah kenderaan pacuan empat roda meloloskan diri daripada polis selepas disyaki mencuri kabel tidak berhasil apabila kenderaan itu terbabit dalam kemalangan berhampiran sebuah restoran di Jalan Mantin–Seremban pada Sabtu.

Kejadian jam 5.30 pagi itu berlaku ketika kenderaan terbabit dikejar polis dari Jalan Tun Dr Ismail di sini menghala ke Mantin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan tersebut membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Axia, lori jenis Hino dan 4x4 berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, pasukan unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah mengejar sebuah pikap jenis Toyota Hilux yang disyaki mencuri kabel di Jalan Dr Ismail menghala ke Jalan Mantin.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu telah hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu melanggar sebuah lori," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Perodua Axia yang berada di belakang lori itu tidak sempat mengelak lalu melanggar pula lori tersebut.

Ujar beliau, kejadian itu mengakibatkan dua suspek lelaki yang duduk di bahagian penumpang mengalami kecederaan dan telah ditahan untuk siasatan lanjut, manakala pemandunya telah melarikan diri.

"Pemandu lori yang membawa muatan getah skrap cedera ringan manakala seorang lelaki dan wanita yang menaiki Perodua Axia tidak cedera.

"Polis juga berjaya mendapatkan semula beberapa batang kabel yang telah dicuri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Hatta berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah serta dadah dan polis kini sedang mengesan suspek pemandu yang dianggarkan berusia 28 hingga 32 tahun yang melarikan diri.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Dan 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kenderaan 4x4 cuba melarikan diri daripada polis tetapi terlibat dalam kemalangan
  • Kemalangan berlaku ketika sedang dikejar polis dari Jalan Tun Dr Ismail ke Mantin
  • Kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk Perodua Axia dan lori jenis Hino
  • Dua suspek dalam 4x4 cedera dan ditahan, manakala pemandu lari
  • Polis sedang mencari pemandu yang melarikan diri dan mempunyai rekod jenayah serta dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!