Jangan pandang rendah virus Covid-19

Pasukan perubatan bertungkus-lumus merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di bandar Bergamo dekat wilayah Lombardy.
Pasukan perubatan bertungkus-lumus merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di bandar Bergamo dekat wilayah Lombardy.
A
A
A

BERMULA di Wuhan, China, penyakit koronavirus Covid-19 akhirnya menjadi satu pandemik di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bayangkan jika pada 1 Mac lalu, hanya seramai 33 orang pesakit disahkan Covid-19 di Malaysia, dalam tempoh 20 hari, graf jumlah pesakit Covid-19 mencanak tinggi dengan peningkatan 97 peratus atau sebanyak 1,306 pesakit setakat semalam.

Jumlah kematian pula semakin bertambah dan sudah mencecah 10 orang sehingga petang semalam.

Jika diimbas mengenai punca-punca kematian utama dalam kalangan rakyat negara ini saban tahun ia didahului oleh penyakit berkaitan jantung.

Lima sebab kematian utama di Malaysia pada tahun 2018.
Lima sebab kematian utama di Malaysia pada tahun 2018.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sebelum ini merumuskan secara purata 50 kematian direkodkan setiap hari disebabkan penyakit jantung koronari.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin turut mendedahkan, penyakit jantung iskemik kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.

Jika dilihat pada angka itu, mungkin ada sesetengah pihak melihat angka kematian 10 orang pesakit Covid-19 (setakat ini) jauh daripada jumlah 18,267 orang yang maut kerana jantung.

Artikel Berkaitan:

Pandangan-pandangan seperti itu yang memperkecilkan bala yang dibawa Covid-19 sebenarnya adalah antara punca mengapa Itali dan Amerika Syarikat kini menjadi pusat pandemik baharu Covid-19 selepas China.

Malah lebih menakutkan, angka kematian pesakit Covid-19 di Itali kini sudahpun melepasi jumlah kematian di China.

Setakat semalam, Itali sudah mencatatkan kematian seramai 4,825 orang manakala China dengan hanya enam kematian baharu menjadikan jumlahnya kepada 3,261 orang.

Malah, di United Kingdom (UK), kajian Imperial College London yang digunakan untuk memaklumkan kerajaan berkenaan situasi Covid-19 mengandaikan sekiranya tiada langkah drastik diambil, 500,000 rakyat UK bakal menunggu maut.

Kajian itu juga menerangkan bahawa jika lambat bertindak dan hanya bertindak selepas Covid-19 menular, wabak itu akan meragut nyawa 250,000 orang.

Lantaran itulah, di Malaysia, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu sehingga 31 Mac dalam usaha memastikan rantaian penularan Covid-19 terutama daripada kluster tabligh dapat diputuskan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika bercakap pada Sinar Harian dalam wawancara khas Khamis lalu menjelaskan, pada peringkat awal gelombang pertama Covid-19 iaitu kes import dapat dikawal namun perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling menjadi punca peningkatan jumlah pesakit wabak berkenaan.

Malah Dr Adham turut menjangkakan jumlah kematian akan meningkat sambil menaruh harapan bahawa tiada kluster baharu direkodkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Kes di China menurun

Dalam pada itu, seorang warga China yang menetap di wilayah Urumqi, Robert Lim berkongsi pandangan dengan Sinar Harian bahawa langkah yang dilakukan kerajaan Malaysia dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan adalah paling tepat.

Katanya, tiada cara lain yang mengatasi penularan wabak berkenaan melainkan dengan mengehadkan pergerakan dan hanya tinggal di dalam rumah.

“Walaupun lebih ramai orang yang maut kerana penyakit jantung, tetapi wabak Covid-19 sangat bahaya.

“Ia virus yang tidak boleh dilihat dengan mata, tidak boleh dihidu dengan bau tetapi boleh merebak secara berleluasa.

“Kami di sini perlu duduk di rumah selama 45 hari. Walaupun ia satu kesukaran, namun rangkaian jangkitan dapat dikurangkan. Lihat sahaja hasilnya hari ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Setakat semalam China yang memiliki 1.4 bilion penduduk hanya menyaksikan pertambahan sebanyak 46 kes baharu Covid-19 selain enam kematian.

Dalam pada itu, Perunding Pediatrik dan Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Nordin berkata, langkah lockdown yang diambil oleh China adalah satu kaedah yang ekstrem tetapi berjaya dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

“Pada pendapat saya ini adalah penjarakkan sosial yang ketat dan akhirnya berjaya. Saya rasa budaya negara kita berbeza. Kita lihat pula Korea Selatan. Mereka melakukan penjarakkan sosial yang akhirnya juga berjaya.

Dr Musa Nordin
Dr Musa Nordin

“Saya ingat pada 29 Februari, 909 kes Covid-19 direkodkan di Korea Selatan dan sekarang pada pertengahan bulan Mac, ia kurang daripada 100 kes sehari. Maknanya program penjarakkan sosial ini berjaya.

“Jadi saya rasa, melihat kepada budaya Malaysia, kita lebih mirip terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan,” katanya.

Pesakit kronik

Sementara itu, pakar kesihatan, Dr Zubaidi Ahmad menjelaskan, pada musim Covid-19 ini, pesakit-pesakit yang tergolong menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, diabetes, darah tinggi dan sakit buah pinggang dilarang untuk keluar rumah ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dr Zubaidi Ahmad
Dr Zubaidi Ahmad

Ini kerana, katanya, pesakit-pesakit kronik ini mempunyai daya tahan yang lebih rendah berbanding individu yang sihat.

“Jadi pada ketika ini, mereka tidak digalakkan untuk keluar rumah kecuali terpaksa. Kalau ada orang meludah atau batuk pun kita tidak tahu. Sebab itu pendedahan risiko itu tinggi sebenarnya.

“Virus ini juga berbeza dengan virus-virus yang kita kenal sebelum ini iaitu tempoh keluarnya simptom-simptom Covid-19. Ia mengambil masa selama dua minggu,” katanya.