Jenayah berselindung di sebalik uniform, kuasa

TUMPASNYA sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi yang diketuai seorang lelaki bergelar ‘Datuk John’ bersama penahanan dua penjawat awam di Kelantan, membuka sekali lagi persoalan sejauh mana integriti dalam kalangan penjawat awam kita benar-benar kebal daripada godaan ringgit dan kemewahan.
Minyak masak peket bersubsidi yang sepatutnya menjadi hak rakyat marhaen, berakhir di sempadan dengan nilai berlipat kali ganda.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Azman Ismail, lebih mengejutkan modus operandi sindiket itu begitu licik iaitu menggunakan kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire untuk mengaburi mata pihak berkuasa, selain dibantu ‘orang dalam’ di kaunter pemeriksaan.
Persoalannya, sampai bila pengkhianatan seperti ini mahu dibiarkan mencalar wajah perkhidmatan awam negara? Sampai bila isu integriti penjawat awam hanya dipandang sebagai kes terpencil sedangkan ia memberi kesan besar kepada imej keseluruhan sistem pentadbiran?
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat sendiri sudah mengingatkan, integriti tidak boleh hanya gah pada kertas kerja atau ucapan rasmi tetapi ia perlu dizahirkan melalui tindakan seharian.
Jika kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif termasuk kenaikan gaji, maka pulangan semula perlu hadir dalam bentuk amanah, produktiviti dan penolakan tegas terhadap sebarang bentuk rasuah.
Malangnya, kes terbaharu ini menunjukkan masih wujud kelompok kecil yang memilih jalan singkat untuk hidup mewah walaupun terpaksa menggadaikan sumpah jawatan dipegang.
Lebih membimbangkan jika pengkhianatan ini berterusan, kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam akan semakin pudar. Rakyat tidak lagi melihat uniform yang dipakai sebagai simbol keadilan dan amanah, sebaliknya peluang untuk mencari keuntungan sendiri. Inilah risiko sebenar apabila integriti boleh dijual beli.
Kewujudan ‘orang dalam’ menjadi punca utama sindiket berani bergerak. Selagi ada penjawat awam yang sanggup ‘menggadaikan’ tanggungjawab demi habuan, selagi itulah kartel penyeludupan akan terus bernyawa.
Hakikatnya, setiap peket minyak masak yang diseludup ialah kecurian hak rakyat. Ia menambah beban kerajaan, menjejaskan keberkesanan dasar subsidi dan akhirnya menindas golongan berpendapatan rendah yang sepatutnya dilindungi.
Subsidi diwujudkan untuk meringankan beban rakyat, bukan dijadikan komoditi keuntungan oleh pihak yang rakus.
Apabila kenderaan mewah digunakan untuk mengangkut barangan subsidi, mesej yang dihantar sangat jelas – keuntungan haram lebih menggiurkan daripada amanah jawatan.
Ia mencerminkan bagaimana kerakusan boleh menutup mata hati sehingga uniform yang sepatutnya dipakai dengan rasa bangga bertukar menjadi alat untuk menyembunyikan penyelewengan.
Kes ini harus dilihat sebagai amaran keras. Kecurangan integriti, walau oleh segelintir individu, mampu menjejaskan kredibiliti keseluruhan perkhidmatan awam.
Penjawat awam bukan sekadar bekerja untuk menerima gaji hujung bulan. Mereka ialah benteng pertama melindungi dasar dan polisi negara.
Apabila benteng ini bocor, bukan sahaja maruah jabatan terpalit, bahkan seluruh imej negara boleh runtuh.
Sejarah membuktikan, kejatuhan banyak institusi bermula dengan pengkhianatan kecil yang dipandang remeh. Hari ini minyak masak, esok mungkin bahan lain pula dan akhirnya sistem kawalan subsidi hancur.
Dalam kata lain, berselindung di sebalik uniform tidak lagi mampu menutup kerakusan yang akhirnya terbongkar juga dan sejarah akan mengingati, ada yang sanggup menggadaikan integriti demi kemewahan sementara tetapi meninggalkan parut kepercayaan yang sukar dipulihkan.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

