'Mereka dekat di hati saya' - Altimet

KUALA LUMPUR - "Orang (sukarelawan Malaysia GSF) ini semua dekat di hati saya."
Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih mesra dengan nama Altimet.
Beliau antara ahli politik yang hadir menyokong Himpunan Sumud Flotilla #Stand4Sumud di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur pada Khamis sebagai tanda protes ke atas sekatan misi Global Sumud Flotilla (GSF) oleh Israel.
"Pertama sekali ialah soal serangan kepada aktivis (GSF). Apabila tentera (Israel) menyerang itu satu kesalahan.
"Mereka serang orang yang tidak bersenjata. Mereka (GSF) hanya datang bawa susu bayi, lampin. Kawan-kawan saya yang ditahan. Saya bersama mereka sebelum ini antaranya Musa Nuwayri, Zizi Kirana di misi Lubnan, selatan Turki untuk tolong pelarian.
"Setiap kali pergi dua minggu kita bersama. Kawan rapat. Kita bersama kawan dalam banyak misi sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Ketua Cabang PKR Ampang itu, beliau berharap para sukarelawan GSF yang ditahan dibebaskan dengan segera.
"Orang-orang ini dekat di hati saya. Saya harap mereka dilepaskan secepat mungkin. Kita doakan," ujarnya.
Sebelum itu, kelihatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran himpunan yang disertai pelbagai lapisan umur..
Antara elemen PDRM terlibat ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Turut hadir Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.
Himpunan berlangsung aman dan setakat jam 6.30 petang, masih terdapat peserta himpunan berada di hadapan Kedutaan AS dengan mengibarkan bendera Palestin.
Himpunan itu turut disambut dengan bunyi hon kenderaan yang melalui laluan hadapan kedutaan tersebut sebagai tanda sokongan.
Media sebelum itu melaporkan seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi Khamis.
Ringkasan AI
- Altimet menyatakan sokongan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF dalam protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur
- Beliau mengkritik serangan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap aktivis GSF yang tidak bersenjata dan membawa bantuan
- Altimet menyatakan keinginannya agar para sukarelawan yang ditahan oleh Israel dibebaskan secepat mungkin
- Himpunan #Stand4Sumud berlangsung aman dengan kawalan keselamatan oleh PDRM termasuk PGA, PGU, dan FRU
- Seramai 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara termasuk 12 rakyat Malaysia ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel dalam insiden di perairan antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
