GSF: Kerajaan Kelantan minta rakyat laksana solat hajat, Qunut Nazilah

Kerajaan Kelantan meminta rakyat negeri ini melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah di kediaman masing-masing demi keselamatan sukarelawan GSF yang sedang berdepan ancaman Israel ketika ini. (Gambar kecil: Mohd Asri)
Kerajaan Kelantan meminta rakyat negeri ini melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah di kediaman masing-masing demi keselamatan sukarelawan GSF yang sedang berdepan ancaman Israel ketika ini. (Gambar kecil: Mohd Asri)
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan meminta rakyat negeri ini melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah di kediaman masing-masing demi keselamatan seluruh sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berdepan ancaman Israel ketika ini.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pada masa sama Bahagian Dakwah Halaqat turut diarahkan menggerakkan solat hajat dan Qunut Nazilah di seluruh 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berdukacita dan mengecam tindakan penahanan terhadap sukarelawan Misi Sumud Flotilla oleh pihak Israel sebagaimana dilaporkan media awal pagi tadi.

“Mereka hadir ke Gaza dalam misi kemanusiaan tanpa sebarang alatan bersenjata. Penahanan ini telah mengundang kecaman seluruh dunia,” katanya pada Khamis.

Menurut beliau, Kelantan turut berharap kerajaan Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengadakan rundingan supaya sukarelawan yang ditahan dibebaskan secepat mungkin.

Sinar Harian melaporkan, 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 10 pagi pada Khamis.

Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.

Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius; manakala Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu; serta penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, menaiki kapal Hio.

Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan, antaranya pendakwah bebas Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, 12 sukarelawan yang ditahan itu sempat berkongsi hantaran mesej SOS kecemasan di media sosial Sumud Nusantara.

Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu ialah seramai 23 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!