LRT Laluan Mutiara: Lencongan trafik di Bayan Lepas mula Januari depan

BAYAN LEPAS - Kerja-kerja lencongan trafik utama di sepanjang jalan utama di Bayan Lepas akan bermula awal tahun depan bagi memberi laluan kepada pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Pengarah Projek SRS Consortium, Adil Putra Ahmad berkata, lencongan tersebut akan dilaksanakan pada pertengahan bulan Januari 2026.
Menurutnya, kerja-kerja persiapan bagi pembinaan jajaran LRT itu kini sedang dijalankan.
“Kami menjangkakan lencongan trafik besar-besaran dan pengalihan aliran trafik di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah akan bermula pertengahan Januari tahun depan.
"Lencongan trafik itu akan bermula dari persimpangan Kampung Jawa hingga ke persimpangan Mayang Pasir," katanya ketika sesi town hall mengenai projek LRT bersama industri di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) yang dianjurkan oleh InvestPenang di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini pada Khamis.
Beliau menambah, langkah itu akan menyaksikan jalan tiga lorong di kawasan tersebut dikurangkan kepada dua lorong bagi laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan laluan ke arah George Town.
"Lencongan trafik itu perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan jejambat untuk landasan LRT sepanjang lebih satu kilometer di kawasan berkenaan.
"Kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dijangka mengambil masa kira-kira 38 bulan dan dijangka siap pada Disember 2028," jelasnya lagi.
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberi jaminan bahawa pelan pengurusan trafik dan logistik yang paling menyeluruh sedang dirangka.
“Oleh itu, sesi libat urus secara berterusan adalah penting. Kontraktor juga akan beroperasi di bawah protokol ketat terutama aspek keselamatan.
“Ini adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, khususnya pada musim tengkujuh,” katanya.
Projek LRT Laluan Mutiara yang dijangka menelan kos bernilai RM16 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Projek ini merangkumi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik termasuk sebuah stesen sementara di Pulau A Tebus Guna Selatan Pulau Pinang.
Ringkasan AI
- Kerja-kerja lencongan trafik di Bayan Lepas akan bermula awal tahun depan untuk pembinaan LRT Laluan Mutiara
- Lencongan trafik akan berlaku dari pertengahan Januari 2026 di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah
- Jalan tiga lorong akan dikurangkan menjadi dua lorong bagi laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan George Town
- Pembinaan landasan LRT lebih satu kilometer di kawasan itu dijangka siap pada Disember 2028
- Projek LRT Laluan Mutiara dengan kos RM16 bilion telah diluluskan dan akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

