Lelaki didakwa aniaya anak saudara usia 8 tahun

Muhammad Faiz (tengah) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Muhammad Faiz (tengah) mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengaku bersalah atas tuduhan menganiaya kanak-kanak perempuan dipercayai anak saudaranya berusia lapan tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh, Muhammad Faiz Aresah, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja di syarikat seni bina itu, sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak perempuan tersebut didakwa menganiaya mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian pada kira-kira jam 2.30 petang, 16 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zuhainie Zull Kafli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Dalam prosiding itu, Zuhainie menjelaskan pertuduhan ke atas tertuduh merupakan kesalahan tidak boleh dijamin, namun K Bharathi memohon mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan dikenakan.

K Bharathi berkata, tertuduh berpendapatan RM1,000 sebulan dan membantu ibu bapanya menanggung adik-beradik lain yang masih bersekolah.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000, selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula bagi fakta dan hukuman ditetapkan pada 6 November depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan menerima kes berkenaan pada 26 September lalu.

Jelas beliau, kejadian itu dilaporkan guru sekolah mangsa yang menyedari terdapat kes melecur yang teruk di lengan kanan mangsa.

"Mangsa dikatakan sedang bermain bersama mak saudaranya berusia 10 tahun di ruang tamu dan membuat bising sehingga menyebabkan tertuduh marah dan menekap seterika ke lengan.

"Hasil pemeriksaan di hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan 'alleged physical abuse sustained thermal burn over the right upper limb' dan ditahan di wad kanak-kanak Hospital Pontian," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!