Tidak pulang dari memancing, warga emas ditemui lemas

ALOR GAJAH – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar memancing sejak petang Rabu terjawab apabila dia ditemukan lemas di Sungai Gadek, berhampiran Balai Polis Gadek, malam Rabu.
Mangsa, Otman Ahmad, 76, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 10.51 malam selepas hampir sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima daripada anak saudara mangsa pada jam 8.49 malam sebelum SAR dilakukan.
Menurutnya, keluarga mula berasa bimbang apabila warga emas itu tidak pulang ke rumah sebelum menemui basikalnya tersandar di tebing sungai.
Katanya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Melaka Tengah dikerah ke lokasi kejadian.

"Operasi SAR dilakukan menggunakan teknik half circle dan wiper search pattern dengan tumpuan pada kawasan barang peribadi mangsa ditinggalkan.
“Mangsa akhirnya ditemukan di dasar sungai pada kedalaman dua meter dalam keadaan telangkup sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi," katanya.
Ujarnya, anak saudara mangsa memaklumkan bapa saudaranya itu yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan sawan dan dia dipercayai tergelincir ke dalam sungai ketika memancing seorang diri.
Tambahnya, ketika operasi keadaan arus tidak deras sekali gus memudahkan pasukan penyelamat memberi tumpuan di kawasan dipercayai lokasi mangsa terjatuh.
“Operasi terpaksa dipercepatkan kerana sekiranya pintu air dibuka pada keesokan pagi, arus deras boleh menyebabkan mayat dihanyutkan lebih jauh," katanya lagi.
Operasi bersepadu itu melibatkan 25 anggota daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ringkasan AI
- Misteri kehilangan seorang warga emas yang pergi memancing terjawab apabila ditemui lemas di Sungai Gadek
- Pasukan penyelamat menemui mangsa, Otman Ahmad berusia 76 tahun, kira-kira pada jam 10.51 malam
- Operasi mencari dan menyelamat dijalankan selepas panggilan kecemasan diterima dari anak saudara mangsa
- Seramai 17 anggota bomba dan penyelamat serta Pasukan Penyelamat di Air dikerahkan ke lokasi kejadian
- Mangsa yang memiliki sejarah penyakit jantung dan sawan dipercayai tergelincir ke dalam sungai sewaktu memancing seorang diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

