Pas Kelantan kecam kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN

Mohd Asri - Foto: FB Mohd Asri Mat Daud
Mohd Asri - Foto: FB Mohd Asri Mat Daud
A
A
A

KOTA BHARU – Pas Kelantan mengecam keras jemputan Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dijadualkan hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, jemputan itu dilihat tidak wajar kerana polisi Trump sebelum ini mempunyai kaitan langsung dengan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

“Ketika rakyat Palestin sedang berdepan kebuluran, kemusnahan dan ancaman nyawa akibat kekejaman rejim Zionis, negara kita pula sibuk meraikan kedatangan Trump.

"Untuk apa pimpinan negara bermain wayang dengan beliau?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Media melaporkan Malaysia menegaskan pendirian terhadap Palestin tidak pernah berubah walaupun Trump bakal hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Menurut Pejabat Perdana Menteri melalui Setiausaha Akhbar Kanan, Tengku Nashrul Tengku Abaidah, keputusan mengekalkan jemputan kepada Trump adalah selaras dengan prinsip diplomasi yang menuntut keberanian menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukannya mengelak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asri turut menzahirkan solidariti penuh terhadap Misi Sumud Flotilla yang kini sedang bergerak memasuki zon merah bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa untuk keselamatan dan kejayaan misi berkenaan supaya mereka selamat daripada ancaman Zionis serta dapat pulang dengan selamat.

“Kondisi mereka sangat berbahaya dan amat memerlukan sokongan doa daripada kita semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Pas Kelantan kecam jemputan Malaysia kepada Donald Trump untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
  • Polisi Trump dikaitkan dengan penderitaan rakyat Palestin
  • Pas Kelantan mempersoalkan tindakan Malaysia meraikan kedatangan Trump
  • Pejabat Perdana Menteri menyatakan pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak berubah
  • Mohd Asri menyatakan solidariti kepada Misi Sumud Flotilla dan menyeru doa untuk kejayaan misi tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!