Oksigen rendah, ammonia tinggi punca ikan mati di Sungai Bera

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain
A
A
A

PEKAN – Paras oksigen terlarut yang rendah dan tahap ammonia tinggi dikenal pasti sebagai punca ikan mati di Sungai Bera baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, hasil analisis sampel air yang dijalankan di Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan mendapati paras oksigen di sungai berkenaan berada di bawah tahap minimum yang diperlukan bagi menyokong kehidupan akuatik.

“Bila oksigen terlarut terlalu rendah, ikan tidak dapat bernafas dengan baik, manakala kandungan ammonia yang tinggi pula meningkatkan tekanan terhadap ekosistem.

“Punca itu menyebabkan kematian ikan secara berkelompok di Sungai Bera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang bertempat di Kampung Padang Rumbia di sini pada Rabu.

Terdahulu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke Program Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang anjuran Yayasan AmanahRaya dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Turut mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut menyempurnakan simbolik serahan cek cura berjumlah RM305,250.40 kepada tiga wakil nelayan darat mewakili 30 penerima daripada daerah Pekan, Kuantan dan Rompin.

Adnan menjelaskan, siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan punca sebenar pencemaran air di sungai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih berusaha mendapatkan bukti jelas sama ada pencemaran ini berpunca daripada perbuatan disengajakan, aktiviti industri atau faktor lain.“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber utama pencemaran tersebut,” jelasnya.

Menurut Datuk Adnan, siasatan awal mendapati tiada pencemaran biotoksin atau bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonella dikesan dan keadaan air yang tercemar itu tidak menjejaskan keselamatan ikan untuk dimakan.

Ujarnya, pencemaran yang berlaku hanya melibatkan kualiti air.

“Kandungan ammonia dan oksigen rendah itu berada dalam air, bukan dalam ikan.

“Jadi, ikan masih selamat dimakan selagi tidak rosak atau busuk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan memastikan ikan yang diperoleh daripada kawasan berkenaan masih segar sebelum dimakan.

Adnan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pencemaran terhadap penternak ikan sangkar dan nelayan sungai di sekitar kawasan terbabit.

“Kematian ikan ini amat mendukacitakan kerana ia menjejaskan sumber pendapatan nelayan sungai dan penternak ikan dalam sangkar yang tidak mampu memindahkan ternakan mereka ke lokasi lain,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perikanan sedang meneliti kemungkinan punca pencemaran datang dari Sungai Serting yang bersambung dengan Sungai Bera, namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita belum ada bukti kukuh, tetapi berdasarkan andaian awal, pencemaran mungkin berpunca daripada Sungai Serting kerana alirannya bersambung dengan Sungai Bera,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!