Kerajaan AS 'shutdown'

Jutaan rakyat AS bakal terkesan setelah sebahagian agensi persekutuan tidak lagi beroperasi seperti biasa.
Jutaan rakyat AS bakal terkesan setelah sebahagian agensi persekutuan tidak lagi beroperasi seperti biasa.
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sibuk menguruskan 'hal keamanan dunia' gagal untuk menangani krisis di negara sendiri apabila berlaku penutupan (shutdown) kerajaan persekutuan bermula pada Rabu.

Situasi itu berlaku setelah Republikan dan Demokrat saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain untuk menyelesaikan kebuntuan bajet.

Sebelum ini, Demokrat meminta agar Trump bersetuju melanjutkan subsidi penjagaan kesihatan yang tamat tempoh dan memulihkan pemotongan Medicaid yang dilaksanakan pada musim panas lalu sebagai sebahagian daripada undang-undang pemotongan cukai dan dasar domestik utama di bawah pentadbirannya.

Penutupan pertama sejak 2019 itu bakal memberi impak kepada ratusan ribu kakitangan kerajaan dan jutaan rakyat Amerika yang menggunakan perkhidmatan agensi berkaitan.

Trump mengambil peluang langkah penutupan itu untuk 'menghukum' anggota Demokrat.

"Banyak kebaikan apabila berlaku shutdown seperti ini. Saya akan menggunakan jeda ini untuk singkirkan banyak perkara yang tidak diperlukan.

"Jadi, kami akan berhentikan ramai orang dan kumpulan yang jadi sasaran ialah puak Demokrat," kata Trump di Pejabat Oval.

Operasi kerajaan persekutuan mula berhenti pada jam 12.01 pagi (waktu tempatan) selepas usaha tergesa-gesa, namun gagal di Senat untuk meluluskan resolusi pembiayaan jangka pendek yang telah mendapat lampu hijau di Dewan Perwakilan.

Penutupan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan fungsi penting seperti perkhidmatan pos, tentera dan program kebajikan seperti keselamatan sosial serta baucar makanan.

Artikel Berkaitan:

Tetapi, seramai sehingga 750,000 pekerja mungkin terkesan dan terpaksa cuti tanpa gaji sehingga krisis itu berakhir. - AFP

Info: Kali terakhir AS berdepan penutupan kerajaan adalah pada 2019, sebahagian agensi ditutup selama 35 hari setelah timbul pertikaian antara Demokrat dan Trump berhubung tuntutannya untuk membiayai tembok di sempadan selatan negara itu.

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump gagal menangani krisis penutupan kerajaan persekutuan
  • Penutupan berlaku akibat ketidaksepakatan bajet antara Republikan dan Demokrat
  • Penutupan memberi impak kepada ratusan ribu kakitangan kerajaan dan jutaan rakyat Amerika
  • Operasi kerajaan berhenti selepas Senat gagal luluskan resolusi pembiayaan jangka pendek
  • Penutupan tidak menjejaskan fungsi penting tetapi sehingga 750,000 pekerja mungkin terkesan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!