Malaysia tumpu bina bandar progresif, lestari dan beridentiti - Kor Ming

Kor Ming (tujuh dari kanan) semasa perasmian Persidangan Antarabangsa Bandar Bertaraf Dunia dan Lestari (WCSC) 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Kor Ming (tujuh dari kanan) semasa perasmian Persidangan Antarabangsa Bandar Bertaraf Dunia dan Lestari (WCSC) 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM- Malaysia memberi keutamaan dalam membina bandar yang progresif dan berpusatkan rakyat dengan memastikan kemajuan tidak mengorbankan kelestarian, warisan, budaya, identiti serta nilai komuniti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daya tahan bukan sekadar soal infrastruktur kukuh sebaliknya bandar yang mampu ‘menanggung’ tekanan perubahan iklim dan pertumbuhan pesat, sambil tetap berpaut pada akar budaya serta sejarah hidupnya.

Menurutnya, pembangunan berkualiti tinggi mesti disertai jiwa yang mencerminkan semangat rakyatnya.

“Di Malaysia, kepelbagaian budaya adalah kekuatan kita. Justeru, setiap perancangan bandar mesti mencerminkan keharmonian dan perpaduan dalam kepelbagaian, dengan matlamat membina bukan sahaja bandar yang boleh didiami tetapi juga benar-benar ‘liveable’.

“Sebagai contoh, pemulihan rumah kedai di Medan Pasar, Kuala Lumpur di mana bangunan bersejarah dipelihara sambil dilengkapi kemudahan moden, mewujudkan ruang bandar yang selesa didiami serta menghormati masa lalu dan masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Bandar Bertaraf Dunia dan Lestari (WCSC) 2025 ke-16 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa, dengan penyertaan lebih 800 peserta dari seluruh dunia.

WCSC 2025 dianjurkan oleh Institut Perancang Malaysia (MIP), Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tambah Kor Ming, kerajaan telah memperuntukkan RM700 juta bagi memulihara tujuh mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa Seri Negara dan Muzium Tekstil.

Selain itu, projek infrastruktur awam termasuk pembinaan pasar baharu bernilai lebih RM10 juta dan Program Residensi Rakyat (PRR) kini turut mengintegrasikan elemen budaya serta identiti komuniti, seiring dengan infrastruktur berdaya tahan iklim di bawah kerangka seperti Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan garis panduan pemuliharaan warisan.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia mengintegrasikan Agenda Bandar Baharu (NUA) ke dalam rundingan iklim global di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Kita juga bersedia untuk belajar, berkongsi dan bekerjasama dengan rakan global, bukan sahaja untuk memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab inovasi bandar lestari, tetapi juga bagi membentuk dunia yang lebih pintar dan mapan bersama,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memanfaatkan inovasi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform bandar pintar berpandukan Prinsip 4P iaitu awam, swasta, rakyat dan perkongsian.

“Golongan belia dan komuniti ialah penerus masa depan bandar kita. Apabila mereka benar-benar merasai pemilikan terhadap jalan, taman dan kejiranan, bandar kita bukan sahaja akan lebih berdaya tahan, malah lebih meriah, inklusif dan hidup,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia memberi keutamaan kepada pembinaan bandar progresif yang berpusatkan rakyat tanpa mengorbankan kelestarian dan nilai komuniti
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan daya tahan bandar bukan hanya soal infrastruktur kukuh tetapi juga kemampuan menangani perubahan iklim dan memelihara budaya
  • Pembangunan bandar di Malaysia mengutamakan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan dan mempromosikan keharmonian serta perpaduan
  • Kerajaan memperuntukkan RM700 juta untuk memulihara tujuh mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur sebagai usaha memelihara warisan
  • Malaysia mengintegrasikan Agenda Bandar Baharu ke dalam rundingan iklim global dan memanfaatkan inovasi digital dalam pembangunan bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!