Status perkahwinan Along Cham terjawab, sah cerai talak satu terhadap isteri

Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan cerai taklik pelakon Along Cham dan Afreena Suhaimi dengan talak satu pada Jun lalu, sekali gus menamatkan rumah tangga mereka.
Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan cerai taklik pelakon Along Cham dan Afreena Suhaimi dengan talak satu pada Jun lalu, sekali gus menamatkan rumah tangga mereka.
A
A
A

SEPANG - Status perkahwinan pelakon, Along Cham dengan isterinya, Afreena Suhaimi berhubung cerai taklik terjawab apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa mengesahkan pasangan itu sah bercerai dengan talak satu pada Jun tahun lalu.

Hakim Syarie, Muhammad Nazri Basrawi memutuskan demikian selepas mendapati lafaz cerai secara taklik oleh Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, sah sekali gus menjatuhkan talak kepada Afreena, 32.

Semasa prosiding, hakim syarie berkata, Muhammad Nizamudin selaku plaintif memberitahu tidak pernah melafazkan rujuk kepada isteri selaku defendan dalam tempoh idah.

"Mahkamah juga memutuskan lafaz cerai kedua terhadap defendan pada Julai tahun lalu tidak sempurna maka tidak berlaku cerai," katanya.

Dalam prosiding ini, peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias hadir bagi mewakili Afreena sementara plaintif telah melantik peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan dalam prosiding berkenaan.

Semasa prosiding, Afreena yang tiba lewat 10 minit di mahkamah, memohon maaf kerana perlu mendapatkan bantuan orang lain untuk memandu, ekoran dia mengalami lecur di tangan akibat minyak panas.

Pada 10 Februari, Muhammad Nizamudin memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena.

Pelawak itu memberitahu, pengesahan berkenaan sepatutnya dibuat pada 16 Disember tahun lalu, namun tertangguh selepas ditahan oleh pihak polis kerana didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan memiliki ganja.

Muhammad Nizamudin memaklumkan isterinya telah melanggar tiga perjanjian taklik, antaranya tidak patuh dan membelakangkan suami.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, pada 23 Januari 2010.

Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14 tahun.

Selepas lapan tahun menduda, Along mendirikan rumah tangga dengan Afreena pada 4 April 2024 namun tidak dikurniakan cahaya mata.

 

Ringkasan AI

  • Status perkahwinan Along Cham dengan Afreena Suhaimi sah bercerai dengan talak satu
  • Lafaz cerai taklik oleh Along Cham pada Jun tahun lalu sah
  • Muhammad Nizamudin tidak pernah melafazkan rujuk kepada isteri dalam tempoh idah
  • Lafaz cerai kedua pada Julai tahun lalu tidak sempurna, tidak berlaku cerai
  • Along Cham dan Afreena Suhaimi berkahwin pada 4 April 2024 tanpa dikurniakan cahaya mata

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!