Pegawai TPR SPRM ditahan kes dadah dicadang direhatkan tugas - Azam Baki

CYBERJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan tindakan awal kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar seorang pegawai timbalan pendakwa raya (TPR) direhatkan daripada menjalankan tugas sementara siasatan lanjut polis berhubung kes dadah dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah melaporkan serta berbincang mengenai kes terbabit bersama AGC.
“Kebiasaannya kes begini, saya akan cadangkan kepada Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) supaya pegawai ini direhatkan dahulu daripada menjalankan sebarang pendakwaan kes di mahkamah.
“Kes ini baru berlaku semalam (Selasa) dan saya segera berbincang dengan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ulang Tahun ke-8 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, Rabu.
Beliau berkata, difahamkan pegawai terbabit baru melaporkan diri di SPRM sebagai pegawai sokongan dari AGC.
Katanya, kes ini sesuatu yang tidak dijangka dan kini sedang disiasat oleh pihak polis.
“Saya ada bercakap dengan Peguam Negara dan kami bersetuju menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan. Jika ada kes, polis akan membawanya ke mahkamah,” ujarnya.
Mengulas mengenai soal tapisan terhadap pegawai terbabit sebelum ditugaskan di SPRM, Azam menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa AGC.
“Ini kerana beliau (pegawai TPR) telah berkhidmat di bawah AGC dan saya jangka sudah melalui segala tapisan. Termasuklah ujian saringan dadah yang wajib dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR.
“Bagi saya, jika benar berlaku, ini adalah tindakan individu itu sendiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang TPR SPRM direman tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis berhubung tangkapan membabitkan pegawai terbabit.
Ringkasan AI
- SPRM akan cadangkan kepada AGC agar seorang pegawai TPR direhatkan sementara siasatan kes dadah
- Ketua Pesuruhjaya SPRM telah berbincang mengenai kes ini bersama AGC
- Pegawai terbabit baru melaporkan diri sebagai pegawai sokongan dari AGC di SPRM
- Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis
- Media melaporkan TPR SPRM direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
