X

Kindly register in order to view this article
!

Awas jemaah tabligh yang masih berdegil!

Roslee (tengah) sewaktu membuat tinjauan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu akan mengambil tindakan drastik dengan 'menjemput' jemaah tabligh di rumah masing-masing sekiranya mereka masih berdegil dan tidak tampil membuat pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana masih ada yang berdegil dan bersembunyi dalam usaha mengekang penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tiada jumlah sebenar ahli tabligh yang menyertai perhimpunan itu, namun individu yang dikenal pasti akan dijemput dari rumah oleh polis dan pegawai kesihatan.

“Sudah banyak kali kita minta mereka tampilkan diri untuk buat pemeriksaan, namun sehingga hari ini masih ada yang ingkar. Jadi, kita akan pergi ambil mereka di rumah bersama kakitangan kesihatan.

“Kalau mereka enggan dan melawan, kita akan tangkap dan dakwa mereka di bawah Penal Code (Kanun Keseksaan) kerana menghalang penjawat awam dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu di sini hari ini.

Roslee (tengah) menasihatkan orang ramai dan peniaga di Pasar Payang hari ini.
Roslee (tengah) menasihatkan orang ramai dan peniaga di Pasar Payang hari ini.

Sementara itu, Roslee berkata, lebih 380 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan digerakkan bagi membantu polis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan di Terengganu.

Jelasnya, semua anggota ATM itu akan ditugaskan bermula petang ini dengan penugasan yang sistematik sudah diatur bagi memastikan tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dapat dipertingkatkan.

“Aturannya, kalau kita buat sekatan jalan raya, akan ada tiga polis dan tiga ATM manakala kalau kita buat ‘snap check’, akan ada dua polis dan dua ATM.

"Pihak kami berterima kasih kepada ATM yang sudi membantu tugas-tugas polis dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Saya yakin kadar pematuhan itu akan terus dipertingkatkan dan mencapai tahap 95 peratus,” katanya.

Jelas Roslee, pihaknya akan terus mengadakan sekatan jalan raya serta menutup laluan utama ke semua pusat bandar di seluruh daerah yang dilakukan bermula Jumaat lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus