256 titik panas risiko banjir dikenal pasti di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengenal pasti sebanyak 256 lokasi titik panas banjir di seluruh negeri ini susulan peralihan monsun yang dijangka membawa risiko banjir dan banjir kilat.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan lokasi hotspot banjir terbanyak iaitu 88 tempat diikuti dengan Seberang Perai Utara (SPU) sebanyak 66 kawasan.
Menurutnya, bagi Daerah Timur Laut dan Barat Daya pula masing-masing mencatatkan 41 kawasan berisiko banjir manakala Seberang Perai Selatan (SPS) sebanyak 20 lokasi.
"Ketika ini kita sudah memasuki musim peralihan Monsun Timur Laut yang bermula dari hujung September hingga November. Musim ini biasanya akan melibatkan kejadian banjir dan banjir kilat.
"Walaupun tahun lalu Pulau Pinang tidak mengalami banjir besar, JBPM sentiasa melakukan kesiapsiagaan dari segi peralatan, logistik serta kekuatan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran video program kesedaran keselamatan kebakaran untuk tetamu hotel di sini pada Isnin.
Hadir merasmikan majlis Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mohamad Shoki berkata, sebanyak 800 anggota bomba kini bersiap siaga selain dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan peralihan monsun.
Dalam pada itu, JBPM juga menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti rekreasi air di kawasan berisiko sepanjang musim hujan lebat kerana berbahaya dan boleh mengundang tragedi kepala air.
Ini kerana katanya, kejadian kepala air boleh memberi kesan kemusnahan yang besar dan membahayakan nyawa.
"Walaupun Di Pulau Pinang keadaan masih terkawal, namun insiden di Perak dan Kedah sebelum ini perlu dijadikan pengajaran.
"Justeru, masyarakat diingatkan supaya mengelakkan kunjungan ke kawasan rekreasi berair terutamanya ketika musim hujan ini," katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang mengenal pasti 256 lokasi titik panas banjir
- Daerah Seberang Perai Tengah merekodkan lokasi hotspot banjir terbanyak
- Musim peralihan Monsun Timur Laut bawa risiko banjir dan banjir kilat
- Sebanyak 800 anggota bomba bersiap siaga hadapi peralihan monsun
- Masyarakat dinasihatkan mengelakkan aktiviti rekreasi air di kawasan berisiko sepanjang musim hujan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
