Kebolehpasaran graduan 100 peratus bukti tiada 'kursus lelong' di UTM

A
A
A

JOHOR BAHRU – Pencapaian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus tahun lalu membuktikan pengajian yang ditawarkan bukanlah kursus yang tidak laku atau ‘kursus lelong’.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, pencapaian itu membuktikan kursus yang ditawarkan universiti berkenaan, khususnya dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi memenuhi keperluan industri semasa.

“Setiap program perlu melalui kajian pasaran dan menilai keperluan negara. Ini keutamaan kita dalam menawarkan program baharu serta membuat semakan terhadap program sedia ada.

“Jadi saya ingin tekankan di sini, tiada ‘program lelong’ di UTM seperti yang didakwa di luar sana kerana kebanyakan pelajar yang mendapat tempat di UTM ini adalah pilihan pertama, kedua dan ketiga.

“Walaupun ada pelajar yang masuk melalui rayuan atau kemasukan kemudian, ia tetap atas pilihan mereka sendiri. Kita tidak menawarkan tempat kepada pelajar yang tidak memilih UTM. Jadi, tidak wujud ‘program lelong’ di sini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) 2025 di kampus UTM Skudai pada Ahad yang menyaksikan pendaftaran seramai 3,831 pelajar baharu.

Tambah Mohd Shafry, tenaga pengajar di UTM sentiasa komited memperkasa keberkesanan pengajian melalui proses semakan kurikulum yang dilaksanakan secara besar-besaran setiap lima tahun.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pengajian yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan masa hadapan.

“Selain itu, pandangan daripada pihak industri turut menjadi rujukan penting dalam usaha penambahbaikan program yang dijalankan di UTM secara berkala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus tahun lalu
  • Kursus yang ditawarkan oleh UTM, terutama dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi, memenuhi keperluan industri semasa
  • Setiap program di UTM melalui kajian pasaran dan penilaian keperluan negara sebelum ditawarkan
  • Tiada 'program lelong' di UTM, kebanyakan pelajar memilih UTM sebagai pilihan utama mereka
  • Tenaga pengajar UTM komited memperbaharui kurikulum setiap lima tahun untuk memastikan pengajian relevan dengan keperluan masa hadapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!