AS kenakan tarif 100 peratus ke atas filem buatan luar negara - Trump

ISTANBUL - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Isnin beliau akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem yang dibuat di luar Amerika, dengan mendakwa industri perfileman negara itu "dicuri" oleh negara lain, lapor Anadolu Ajansi.
"Perniagaan pembuatan filem kita dicuri dari Amerika Syarikat, oleh negara lain, sama seperti mencuri 'gula-gula daripada bayi'," menurut catatan Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
Beliau secara khusus mengkritik California dan Gabenornya Gavin Newsom, dengan mengatakan negeri itu "dengan gabenornya yang lemah dan tidak cekap, terjejas teruk" akibat persaingan asing dalam pembuatan filem.
Los Angeles, California adalah lokasi Hollywood, hab industri filem dan televisyen AS.
"Oleh itu, untuk menyelesaikan masalah yang berpanjangan dan tidak berkesudahan ini, saya akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas mana-mana filem dan semua filem yang dibuat di luar Amerika Syarikat," kata Trump.
Pengumuman itu mewakili satu lagi perluasan dasar tarif Trump semasa penggal kedua beliau memegang jawatan, yang digunakan secara meluas sebagai sebahagian agenda "Jadikan Amerika Hebat Kembali".
Trump mengenakan tarif ke atas pelbagai sektor dan negara sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, menggunakan alat perdagangan itu untuk menekan pesaing asing dan sering mengganggu pasaran AS dan antarabangsa dalam proses itu. - Bernama/Anadolu
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua filem yang dibuat di luar Amerika Trump mendakwa industri perfileman Amerika dicuri oleh negara lain Trump mengkritik California dan Gabenornya Gavin Newsom kerana dianggap lemah dalam menghadapi persaingan asing dalam pembuatan filem Los Angeles, California adalah hab industri filem dan televisyen AS Pengumuman ini adalah sebahagian dari dasar tarif Trump yang bertujuan untuk "Jadikan Amerika Hebat Kembali"
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
