Wanita Indonesia dakwa diperdaya rakan senegara jadi tukang urut

Antara PATI yang ditahan di sebuah pusat urut di Sri Kembangan di sini pada Sabtu.
Antara PATI yang ditahan di sebuah pusat urut di Sri Kembangan di sini pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Seorang wanita warga Indonesia mendakwa ditipu rakan senegara yang menawarkan pekerjaan sebagai pelayan restoran, namun dipaksa bekerja sebagai tukang urut di sebuah premis di Seri Kembangan.

Wanita asal Medan yang dikenali sebagai Cia itu memberitahu mengenali rakannya ketika bekerja di sebuah kilang di Ipoh, Perak.

“Saya datang ke Malaysia pada 2020 selepas beberapa tahun, seorang rakan menawarkan saya kerja sebagai pelayan restoran di Kuala Lumpur, namun sebaik tiba, saya dibawa ke pusat urut.

"Saya tiada pilihan kerana menanggung hutang serta perlu menampung kos perubatan ibu yang sakit jantung," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Sabtu.

Wanita berusia 25 tahun itu antara 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasan Imigresen di beberapa pusat urut disyaki menawarkan aktiviti tidak bermoral.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Basri Othman berkata, pihaknya menjalankan serbuan secara serentak di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

"Seramai 72 pegawai Imigresen pelbagai pangkat dari Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 5 petang.

"Seramai 146 orang telah diperiksa dalam operasi itu terdiri daripada 60 warga asing dan 86 warga tempatan," katanya.

Basri berkata, daripada jumlah itu, seramai 86 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Seramai tiga lelaki warga tempatan disyaki penjaga premis dan seorang wanita warga Vietnam yang bertindak sebagai 'kapten' turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, semasa serbuan terdapat warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi.

"Terdapat individu yang enggan membuka pintu serta bersembunyi di bawah katil," katanya.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 21 hingga 31 tahun terdiri daripada 10 orang lelaki dan 76 perempuan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA / Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.

"Sebanyak 19 saman kepada saksi telah dikeluarkan melibatkan pelanggan warga tempatan," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita Indonesia ditipu rakan, dipaksa bekerja sebagai tukang urut di Seri Kembangan
  • Wanita tersebut datang ke Malaysia pada 2020 dan menanggung hutang serta perlu menampung kos perubatan ibu
  • 86 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Penguatkuasan Imigresen di pusat urut Lembah Klang
  • 72 pegawai Imigresen Malaysia terlibat dalam operasi serbuan tersebut
  • 19 saman dikeluarkan melibatkan pelanggan warga tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!