PDRM hargai pelaksanaan BUDI95, bukti kerajaan prihatin - KPN

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Madani atas pelaksanaan inisiatif subsidi petrol Budi Madani RON 95 (BUDI95) yang bermula hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan bersepadu kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"PDRM yakin inisiatif ini akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi keselamatan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 sen seliter di bawah inisiatif BUDI95 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lepas.
Inisiatif BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 Sept ini.
Melalui inisiatif itu, rakyat Malaysia layak membeli hingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada kadar RM1.99 seliter. - Bernama
Ringkasan AI
- PDRM mengucapkan terima kasih kerana pelaksanaan subsidi petrol Budi Madani RON 95
- Inisiatif membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara
- Subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 sen seliter dinikmati oleh anggota tentera dan polis
- Langkah ini meningkatkan keberkesanan operasi dan kerjasama antara agensi keselamatan
- Inisiatif BUDI95 akan diluaskan kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan MyKad dan lesen memandu aktif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
