Hukuman ke atas FAM: AFC tunggu keputusan Tribunal Bola Sepak FIFA

Windsor John. Foto Bernama
Windsor John. Foto Bernama
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan sedang menunggu keputusan akhir Tribunal Bola Sepak di bawah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.

Perkembangan itu dikongsi Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John dalam satu maklum balas ringkas kepada Bernama pada Sabtu.

"Kami sedang menunggu keputusan akhir daripada Tribunal Bola Sepak (FIFA),” katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, FIFA memaklumkan jawatankuasa tatatertib badan induk itu menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain-pemain yang dikenakan tindakan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menurut FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit, membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Selepas perlawanan itu, FIFA menerima aduan rasmi berkaitan status kelayakan beberapa pemain.

Susulan aduan rasmi berkenaan, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notifikasi keputusan tersebut.

FAM dalam kenyataan mengesahkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman itu sebagai usaha menjaga kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan. - Bernama

 

 

 

Ringkasan AI

  • Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menunggu keputusan akhir Tribunal Bola Sepak FIFA berhubung hukuman ke atas FAM dan tujuh pemain warisan
  • FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen palsu untuk kelayakan pemain dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam
  • FAM dan tujuh pemain dikenakan tindakan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen
  • FAM didenda CHF350,000 dan setiap pemain didenda CHF2,000 dan digantung 12 bulan dari aktiviti bola sepak
  • FAM akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA sebagai usaha menjaga kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!