Bergson tekad terus 'sengat' pasukan lawan

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva bertekad untuk terus bekerja lebih keras bagi membantu skuad Harimau Selatan meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.
Menurut pemain berusia 34 tahun itu, beliau juga berazam untuk meledak lebih banyak gol buat JDT pada perlawanan-perlawanan akan datang.
“Sejujurnya, saya tidak memikirkan soal berita yang ditulis mengenai saya ketika menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol, kerana perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah untuk membantu rakan sepasukan di atas padang.
“Sebagai pemain, saya perlu mencabar kemampuan diri sendiri dan menjadi pilihan ketua jurulatih.
“Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tidak, fokus saya adalah untuk membantu pasukan,” katanya.
Setelah beberapa kali tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, Bergson kembali mengganas apabila meledak hatrik ketika membantu JDT menundukkan Bangkok United 4-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.
Satu lagi gol turut dijaringkan oleh Joao Figueiredo pada minit ke-52, hasil lorongan cantik daripada Bergson.
Untuk rekod, ia merupakan hatrik kedua berturut-turut buat ‘mesin gol JDT’ itu selepas turut meledak hatrik ketika membenam Sabah FC dalam aksi Liga Super di venue sama minggu lalu.
Malah, Bergson yang sudah bersama JDT sejak 2021 turut melakar sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan, mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin yang mencatatkan 106 gol.
Sementara itu, Bergson berkata, rekod berkenaan merupakan satu kepuasan buat dirinya, apatah lagi apabila memainkan peranan penting dalam membantu skuad Harimau Selatan mengharungi saingan musim ini.
“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan. Saya berazam untuk bekerja lebih keras dan memastikan JDT muncul sebagai pasukan yang lebih baik,” katanya.
Ringkasan AI
- PENYERANG Johor Darul Ta'zim, Bergson Da Silva bertekad untuk bekerja lebih keras membantu pasukan mencapai lebih banyak kejayaan
- Bergson berazam untuk menjaringkan lebih banyak gol untuk JDT dalam perlawanan akan datang
- Beliau tidak fokus pada berita tentang prestasi golnya tetapi lebih kepada membantu pasukan di atas padang
- Bergson telah mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 109 gol, mengatasi rekod Indra Putra Mahayuddin
- Beliau menganggap pencapaian ini sebagai kepuasan peribadi dan ingin terus memberi yang terbaik untuk JDT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
