PKNK digalakkan teroka lebih banyak projek berimpak tinggi

Muhammad Sanusi (tengah) dan Isahak (dua dari kanan) bersama pengurusan tertinggi dan warga kerja PKNK sempena sambutan 60 tahun PKNK.
Muhammad Sanusi (tengah) dan Isahak (dua dari kanan) bersama pengurusan tertinggi dan warga kerja PKNK sempena sambutan 60 tahun PKNK.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) digalakkan untuk meneroka lebih banyak projek berimpak tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi tempatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selepas 60 tahun penubuhannya, PKNK perlu berani berubah dan melangkah lebih jauh untuk membawa manfaat lebih besar kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Menurutnya, PKNK perlu terus menjadi pemacu utama pembangunan negeri dengan terus menyumbang kepada kerajaan negeri dalam bentuk tunai, pelaburan sosial dan pembangunan mampan.

“Saya harap PKNK bersama anak-anak syarikatnya terus memajukan lebih banyak projek berimpak tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan, serta menyantuni golongan asnaf dan B40 melalui program CSR,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun ke-60 PKNK, di Wisma PKNK.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Isahak Murat.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PKNK berkata, pelbagai inisiatif sedang giat dijalankan Kedah termasuk pembangunan sempadan Bukit Kayu Hitam (BKH) dan Kedah Science and Technology Park (KSTP) yang membuka ruang luas untuk penglibatan PKNK.

"PKNK boleh memainkan peranan dalam pembangunan hubungan logistik dan perdagangan rentas sempadan di atas tanah milik PKNK sedia ada.

“Projek KXP Aerotropolis yang merupakan projek pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri perlukan sokongan aktif PKNK, selain pembangunan lapangan terbang kargo, PKNK boleh ceburi pembangunan hartanah, industri dan logistik di kawasan sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan keperluan memperkasakan Kedah Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5, yang disifatkan sebagai taman teknologi paling berjaya dalam negara.

"Pemerkasaan ini akan membuka peluang pelaburan semula dan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. PKNK mesti bertindak proaktif dalam menyediakan tanah, kemudahan sokongan, perumahan dan latihan kepada bakal tenaga kerja,” ujarnya.

Muhammad Sanusi tegaskan, kejayaan lalu bukan alasan untuk berada di zon selesa, sebaliknya perlu dijadikan pencetus semangat untuk melonjak lebih tinggi.

"60 tahun bukan sekadar untuk dikenang, ia adalah panggilan untuk berubah, melonjak dan berani melangkah lebih jauh. Kita tidak boleh selesa dengan kejayaan lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha PKNK melaksanakan program transformasi bagi mengangkat perbadanan itu daripada ‘good’ kepada ‘great’.

"PKNK mesti menjadi contoh GLC negeri yang cemerlang dalam prestasi, berintegriti dalam tadbir urus dan ikhlas dalam khidmat, selaras dengan hala tuju baharu dan inisiatif strategik negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, PKNK bukan sekadar sebuah GLC, tetapi simbol aspirasi pembangunan negeri yang meninggalkan jejak bermakna dalam landskap ekonomi Kedah sejak 1965.

"Saya percaya ramai anak-anak Kedah hari ini bekerja, berniaga dan hidup dalam suasana serba maju hasil daripada projek-projek diusahakan oleh PKNK. Inilah legasi yang mesti kita pertahankan dan pertingkatkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!