Ibu sembunyi mayat anak dalam peti sejuk 20 tahun

Seorang wanita berusia 75 tahun ditahan selepas dia mengaku menyimpan mayat dalam peti sejuk selama dua dekad. Gambar AI
Seorang wanita berusia 75 tahun ditahan selepas dia mengaku menyimpan mayat dalam peti sejuk selama dua dekad. Gambar AI
A
A
A

TOKYO - Polis Jepun menahan seorang wanita berusia 75 tahun selepas dia mengaku menyimpan mayat anak perempuannya dalam peti sejuk selama dua dekad.

Menurut jurucakap polis Ibaraki, mayat seorang wanita dewasa ditemui di dalam peti sejuk beku di rumah Keiko Mori pada Selasa lalu.

Mori mendakwa mayat itu milik anaknya, Makiko, yang dilahirkan pada 1975 dan kini sepatutnya berusia sekitar 49 atau 50 tahun jika masih hidup.

“Mayat itu sudah mengalami pereputan,” kata jurucakap berkenaan sambil menambah bahawa bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Mori datang ke balai polis bersama seorang ahli keluarga dan memaklumkan bahawa dia telah menyimpan mayat anaknya dalam peti sejuk.

Apabila polis mengiringi Mori pulang ke rumah, mereka menemui mayat berkenaan dalam keadaan berlutut menghadap ke bawah, hanya berpakaian T-shirt dan berseluar dalam.

Wanita itu ditahan atas tuduhan membuang mayat dan memberitahu penyiasat bahawa semasa kejadian dia terpaksa membeli peti sejuk selepas bau busuk mayat anaknya mula memenuhi rumah.

Polis berkata Mori mempunyai beberapa orang anak lain, namun butiran lanjut mengenai mereka atau kenyataan mereka berhubung Makiko tidak didedahkan.

Mori dikatakan tinggal bersendirian sejak kematian suaminya awal bulan ini. - AFP

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis Jepun menahan wanita berusia 75 tahun kerana menyimpan mayat anak perempuannya dalam peti sejuk selama dua dekad
  • Mayat seorang wanita dewasa ditemui dalam peti sejuk beku rumahnya
  • Mori mengaku mayat itu milik anaknya, Makiko, yang sepatutnya berusia 49 atau 50 tahun
  • Bedah siasat akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian
  • Mori datang ke balai polis dan memaklumkan tentang penyimpanan mayat anaknya dalam peti sejuk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!