Inkues Zara Qairina: Dua saksi kanak-kanak dijadual beri keterangan esok

Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian Zara Qairina. Gambar hiasan
Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian Zara Qairina. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner di sini selesai mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga pada prosiding inkues berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ke-14 hari ini.

Saksi kanak-kanak itu mula memberikan keterangan secara tertutup pada 2 petang tadi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Pelajar yang ditemani ibunya itu selesai memberi keterangan pada jam 4.30 petang.

Mahkamah dijadual meneruskan prosiding esok dengan mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak keempat dan kelima bermula pukul 9 pagi.

Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu dimulakan pada 3 September lepas.

Sebanyak 25 saksi dewasa dan 32 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.

Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. - Bernama

Ringkasan AI

  • Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir
  • Saksi kanak-kanak memberi keterangan secara tertutup
  • Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan
  • 25 saksi dewasa dan 32 kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues pada sesi akan datang
  • Zara Qairina meninggal setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!