Klinik Kesihatan Kuala Tahan ditutup sementara, alami kerosakan struktur utama

KUANTAN - Klinik Kesihatan (KK) Kuala Tahan, Jerantut ditutup sementara selepas bangunan berusia lebih 45 tahun itu mengalami kerosakan struktur utama akibat pergerakan tanah yang berlaku di kawasan berkenaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Sharif berkata, keadaan itu menjadikan bangunan terbabit tidak lagi selamat untuk digunakan selepas pemeriksaan dilakukan Jabatan Kerja-Raya (JKR).
Menurutnya, operasi klinik terbabit telah dipindahkan ke lokasi sementara ke Dewan Penghulu Reja, Kampung Padang, Kuala Tahan setelah mendapat kebenaran penggunaan dewan berkenaan dari Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut.
"Seramai 24 petugas klinik juga akan terus bertugas di lokasi sementara ini dan ia memastikan kesinambunangan perkhidmatan kepada masyarakat.
"Manakala pemakluman kepada masyarakat setempat juga telah dibuat oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut," katanya dalam satu kenyataan pada rabu.
Klinik berkenaan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada 6,000 penduduk setempat dengan kedatangan harian pesakit adalah sekitar 50 hingga 60 orang.
Dr Saiful Azlan memberitahu, sebagai perancangan jangka pendek, permohonan pembaikian struktur sedia ada akan dilakukan mengikut kesesuaian dan penilaian dibuat oleh Bahagian Forensik Struktur JKR Malaysia.
Katanya, pada tahun 2024, projek pembinaan KK Kuala Tahan Jenis 5 dengan kemudahan X-ray di tapak baharu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK12) Rolling Plan 4.
"Kerja-kerja dijangka bermula pada tahun 2026 di bawah seliaan pihak JKR.
"Justeru, kita komited dalam memastikan penduduk menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih baik selain petugas dapat bekerja dalam keadaan lebih selesa," katanya.
Ringkasan AI
- Klinik Kesihatan Kuala Tahan, Jerantut ditutup sementara akibat kerosakan struktur
- Operasi klinik dipindahkan ke Dewan Penghulu Reja, Kampung Padang, Kuala Tahan
- Seramai 24 petugas klinik bertugas di lokasi sementara untuk terus memberi perkhidmatan
- Perkhidmatan diberikan kepada 6,000 penduduk setempat dengan 50 hingga 60 kedatangan harian
- Projek pembinaan KK Kuala Tahan baru dengan kemudahan X-ray telah diluluskan untuk bermula tahun 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

