DSP polis didakwa abai notis SPRM, gagal isytihar harta

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, masing-masing satu kes mengabai notis iaitu gagal mengenal pasti harta dan tidak mematuhi notis dengan tidak menyatakan cara aset antaranya wang digital emas dan kripto mencecah RM80,000 diperoleh, Jun tahun lalu.
Mohd Shahril Abu Bakar, 41, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mengabai notis bertulis dengan gagal mengenal pasti harta yang diperoleh iaitu wang yang dimasukkan ke dua akaun bank milik sebuah syarikat.
Kesalahan didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 28 Jun 2024.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa tidak mematuhi notis bertulis iaitu gagal menyatakan cara harta-harta diperoleh di lokasi dan tarikh serupa.
Aset berkenaan ialah wang emas digital yang disimpan di platform Public Gold sebanyak 716.8261 gram milik tertuduh dan pembayaran pinjaman perumahan sebanyak RM68,000.
Ia termasuk harta yang dilaburkan iaitu wang kripto RM80,000 (platform Luno), wang berjumlah RM111,698.48 (tiga akaun Amanah Saham Bumiputera).
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100, 000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin sementara tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.
Hakim, Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan termasuk syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober depan.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan gagal mengenal pasti aset dan cara perolehan harta
- Mohd Shahril Abu Bakar, berusia 41 tahun, membuat pengakuan di hadapan Hakim Rosli Ahmad
- Dia didakwa atas kesalahan mengabai notis SPRM dan gagal menyatakan cara perolehan harta termasuk wang digital emas dan kripto berjumlah RM80,000
- Dua tuduhan tersebut boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM100,000
- Tertuduh diberikan ikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

