Peniaga kecil perlu bantuan geran

Bantuan geran mikro yang disediakan kerajaan didakwa masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya peniaga kecil kerana proses permohonan yang dianggap rumit dan membebankan. (Gambar kecil: Rosli)
Bantuan geran mikro yang disediakan kerajaan didakwa masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya peniaga kecil kerana proses permohonan yang dianggap rumit dan membebankan. (Gambar kecil: Rosli)
A
A
A

SHAH ALAM – Bantuan geran mikro yang disediakan kerajaan didakwa masih belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya peniaga kecil kerana proses permohonan yang dianggap rumit dan membebankan.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, ada peniaga yang mendakwa mereka terpaksa melalui perantara tertentu bagi melancarkan urusan sekali gus menambah kos dan menyukarkan akses bantuan sebenar.

“Kalau mohon terus memang sukar dapat. Kebanyakan peniaga kecil terpaksa bergantung pada orang tengah kerana kalau tidak, permohonan mereka ditolak begitu sahaja. Inilah yang menekan golongan kecil.

“Masalah ini menyebabkan bantuan yang diumumkan kerajaan sering tidak sampai kepada kumpulan sasar, akhirnya menjejaskan keyakinan peniaga terhadap mekanisme sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kos operasi, Rosli berkata, peningkatan harga barang mentah, sewa tapak dan perbelanjaan harian semakin menekan penjaja kecil sehingga margin keuntungan mereka semakin mengecil.

“Kalau dulu boleh untung RM100 hingga RM150 sehari, sekarang ada yang hanya tinggal RM60. Keadaan ini membuatkan ramai peniaga sukar bertahan,” jelas beliau.

Katanya lagi, bantuan kewangan yang bersifat fleksibel amat mendesak ketika ini, termasuk pemberian subsidi barang asas seperti minyak masak dan gas serta pelepasan untuk perbelanjaan operasi.

Rosli turut menegur skim bantuan tunai bersasar yang terhad kepada kedai berdaftar sahaja kerana ia menafikan peluang peniaga kecil seperti penjaja makanan tepi jalan menerima manfaat langsung.

“Contohnya bantuan RM100 yang diberikan kepada rakyat ia hanya boleh dibelanjakan di premis terpilih. Mengapa tidak dibuka kepada gerai kecil,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh tentang harapan peniaga kecil terhadap Belanjawan 2026, Rosli menegaskan kerajaan perlu menilai semula kadar lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) agar ia lebih rendah atau sekadar token, selain mengurangkan beban cukai berlapis yang menekan golongan kecil.

“Kami mahu kerajaan beri ruang lebih praktikal contohnya potongan cukai, lesen murah dan sistem subsidi melalui kad khas peniaga. Harapan kami bukan sekadar modal tunai tetapi satu ekosistem yang benar-benar memudahkan penjaja kecil untuk terus berdaya saing,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bantuan geran mikro kerajaan sukar dimanfaatkan sepenuhnya peniaga kecil kerana proses permohonan rumit
  • Peniaga kecil terpaksa bergantung pada perantara untuk memudahkan permohonan bantuan, menambah kos operasi
  • Peningkatan harga barang mentah, sewa tapak dan perbelanjaan harian menekan margin keuntungan peniaga kecil
  • Skim bantuan tunai bersasar hanya terhad kepada kedai berdaftar, menafikan peluang bagi penjaja makanan tepi jalan
  • Peniaga kecil berharap kerajaan menilai semula kadar lesen dan mengurangkan beban cukai untuk meringankan beban operasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!