'Tolong encik lepaskan kami, saya sanggup bagi RM7,000'

Anggota PGA menahan warga asing yang cuba menyogok dalam operasi bersepadu dijalankan di kawasan perindustrian Pulau Indah pada Rabu.
Anggota PGA menahan warga asing yang cuba menyogok dalam operasi bersepadu dijalankan di kawasan perindustrian Pulau Indah pada Rabu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - "Tolong encik lepaskan kami, saya sanggup bagi RM7,000.”

Itu rayuan seorang lelaki warga asing yang ditahan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 ketika membawa isteri dan dua lagi individu menaiki sebuah kereta dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Pulau Indah pada Rabu.

Lelaki berkenaan yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) pada awalnya dikesan cuba beredar dari lokasi serbuan.

Bagaimanapun, tindakannya berjaya dipatahkan selepas anggota PGA bertugas mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat individu dalam kenderaan itu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia kira-kira setahun.

Pemandu terbabit memberi alasan bahawa kereta yang dipandunya milik majikan dan dia hanya datang ke kawasan berkenaan untuk makan di sebuah kedai berhampiran.

Namun, lelaki itu bertindak nekad dengan cuba menawarkan wang tunai RM7,000 kepada anggota PGA yang melakukan pemeriksaan.

Tindakannya itu bagaimanapun gagal apabila dia terus ditahan untuk siasatan lanjut.

Cubaan menyogok tersebut terbongkar selepas pemeriksaan lanjut mendapati dua individu yang bersamanya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi bersepadu itu dijalankan di kawasan rumah kedai berikutan risikan dan aduan awam.

"Orang awam memaklumkan kawasan ini menjadi tumpuan warga asing, termasuk ada yang dipercayai menjalankan perniagaan seperti kedai runcit dan restoran.

"Selain JIM, operasi turut membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pelbagai agensi lain," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki warga asing menawarkan RM7,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am untuk dilepaskan ketika ditahan di Pulau Indah
  • Lelaki tersebut ditahan kerana cuba mengelak dari lokasi serbuan yang dijalankan oleh pasukan bersepadu
  • Empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditemukan dalam kenderaan yang diperiksa
  • Cubaan menyogok tersebut gagal dan lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut
  • Operasi bersepadu tersebut dijalankan berikutan aduan awam mengenai kehadiran warga asing di kawasan rumah kedai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!