Bekas kelindan lori dicekup sorok dadah RM35,000 dalam kereta

Kereta Honda Jazz yang dinaiki suspek ketika membawa bekalan dadah.
Kereta Honda Jazz yang dinaiki suspek ketika membawa bekalan dadah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Hasrat seorang bekas kelindan lori untuk meraih pendapatan lumayan tidak kesampaian apabila dicekup kerana disyaki mengedar selain menyorok dadah bernilai RM35,000 di dalam kereta di sini pada Jumaat. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan di Jalan Industri Rembia dipercayai ketika mahu menghantar bekalan kepada pelanggan lebih kurang jam 6.10 pagi dengan menaiki Honda Jazz.

"Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek ketika sedang memandu kereta terbabit.

"Pemeriksaan lanjut menemui 1,500 peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 2,129.30 gram dan 100 peket syabu seberat 96 gram dengan nilai dianggarkan RM35,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, polis turut menyita sebuah motosikal Benelli 150 bernilai RM5,000, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM40,000.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek mengambil bekalan dadah di kawasan Industri Rembia sebelum menunggu pelanggan di hentian bas untuk urusan penghantaran.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dan bekalan dadah yang dirampas mampu menampung keperluan kira-kira 2,500 penagih tempatan.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan status NFA (tiada tindakan lanjut), manakala ujian air kencingnya pula negatif dadah.

"Suspek telah direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis meneruskan siasatan bagi menjejaki rangkaian sindiket yang masih bebas dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah kepada JSJN di talian 012-2087222.

Ringkasan AI

  • Bekas kelindan lori ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah di Alor Gajah
  • Suspek ditahan ketika mahu menghantar bekalan dadah kepada pelanggan dengan menaiki Honda Jazz
  • Pemeriksaan menemui 1,500 peket heroin dan 100 peket syabu dengan nilai RM35,000
  • Polis turut menyita sebuah motosikal Benelli bernilai RM5,000 menjadikan jumlah rampasan RM40,000
  • Siasatan mendapati suspek mengambil bekalan dadah di kawasan Industri Rembia dan bekalan mampu menampung keperluan 2,500 penagih tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!