Ops Sapu: 11 warga Myanmar ditahan di Pasir Puteh

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan 11 warga Myanmar dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Pasir Puteh bermula Selasa lepas hingga semalam.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Sapu itu digerakkan hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan dan melibatkan pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar Selising, Pasir Puteh.
"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.
"Pihak imigresen menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berhubung pendatang atau aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat melindungi PATI,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui talian 019-9840377 atau laman sesawang aduan rasmi di https://imi.spab.gov.my. - Bernama
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Kelantan menahan 11 warga Myanmar di Pasir Puteh selepas operasi penguatkuasaan
- Operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Sapu berdasarkan risikan dan pemeriksaan terhadap warga asing di Selising
- Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut
- Imigresen akan melaksanakan operasi penguatkuasaan berterusan untuk membanteras pendatang asing tanpa izin
- Masyarakat digesa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang melalui talian dan laman sesawang aduan rasmi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
